KUALA LUMPUR – Aktivis Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard memberi bayangan lebih banyak maklumat berkaitan dakwaan penipuan dalam pembekalan dan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didedahkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, satu operasi khas yang dinamakan Ops Hiroshima akan dilancarkan bagi mendedahkan kontraktor-kontraktor yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan penipuan membabitkan perolehan melibatkan ketenteraan.
"Bersedialah kerana kami akan mendedahkan pembekalan dan perolehan tentera yang penuh dengan penipuan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Selasa.
Menurut Badrul Hisham, antara penyelewengan yang dikenal pasti termasuk kes barangan yang langsung tidak dihantar tetapi bayaran tetap dibuat.
"Ini juga melibatkan pembekalan peralatan yang gagal ujian kualiti namun masih diarahkan untuk diterima dan digunakan.
"Ada juga kes barang dibekalkan tetapi gagal dalam ujian kualiti. Walaupun gagal ujian, barang itu tetap diarahkan supaya dihantar,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa, pemotongan kualiti peralatan akibat rasuah telah mengundang risiko besar kepada keselamatan anggota tentera.
Sehubungan itu, Badrul Hisham menyeru seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk anggota, veteran, ahli keluarga dan rakyat Malaysia supaya bersatu hati bagi membersihkan institusi pertahanan negara daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa.
"Saya menyeru supaya anggota ATM, warga ATM, keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia bersatu hati.
"Mari kita sama-sama membersihkan Angkatan Tentera Malaysia ini," katanya.