KUALA LUMPUR — Semua warga Tentera Darat Malaysia (TDM) diminta kekal bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang isu terpencil yang berpotensi menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, situasi keselamatan negara ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan kejadian yang berlaku hanya melibatkan kelompok kecil serta tidak menggambarkan keadaan sebenar secara menyeluruh.
“Saya yakin keadaan ini dapat dikawal. Apa yang berlaku bersifat terpencil, namun kita mesti kekal bersatu dan memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Kawalan Kehormat Utama (KKU) di Dataran Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, di sini pada Selasa.
Terdahulu, Azhan menerima pemakaian pangkat pada majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pelantikan beliau adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-631 pada 19 November tahun lalu dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, 1 Disember.
Dalam pada itu, Azhan menzahirkan rasa syukur ke hadrat ALLAH SWT atas pelantikan tersebut serta merakamkan penghargaan kepada Sultan Ibrahim, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan atas kepercayaan yang diberikan.
Menurutnya, jawatan Panglima Tentera Darat merupakan satu amanah besar memandangkan Tentera Darat adalah organisasi terbesar dalam ATM.
“Saya akan melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dengan sokongan seluruh warga Tentera Darat serta rakyat Malaysia,” katanya.
Mengulas hala tuju kepimpinan, Azhan berkata tumpuan utama adalah kepada penambahbaikan berterusan selaras pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan 2030, yang kini memasuki fasa permulaan.
Beliau menjelaskan, tahun ini merupakan tempoh penting bagi merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik, khususnya melibatkan kesiapsiagaan, keupayaan dan peranan teras Tentera Darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.