[VIDEO] Reda anak derma organ, harap jadi 'saham' akhirat

Iklan

KOTA BHARU -"Saya reda... saya ikut hasrat arwah untuk dermakan semua organ dan harap ia jadi saham akhirat buatnya."

Demikian luahan seorang bapa Mohd Zain Daud, 64, selepas anaknya Amirrulmukminin, 27, meninggal dunia setelah mengalami mati otak setelah motosikal ditungganginya terbabas dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2), Kemaman, Terengganu, 25 Disember lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan anak ketujuh daripada lapan beradik berkenaan menerima rawatan di Hospital Kemaman sebelum menghembuskan nafas terakhir Jumaat lalu seterusnya menjalani operasi pendermaan organ pada Sabtu di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZKT).

Ujar dia, selepas pemeriksaan lanjut hanya mata, tulang dan buah pinggang Amirrulmukminin sesuai didermakan kerana yang lain rosak akibat kecederaan dialami semasa kemalangan.

Iklan

"Alhamdulillah, kami dimaklumkan oleh pihak hospital, buah pinggangnya sudah mempunyai penerima yang sedang menanti.

Jenazah Amirrulmukminin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Binjal, Kota Bharu pada Sabtu jam 9.30 malam. - Foto Ihsan keluarga

Iklan

"Pada awalnya saya serta anak-anak yang lain tidak mengetahui tentang ikrar derma organ telah dibuat oleh Amirrulmukminin. Sehinggalah anak keenam (Annur Saidatina Aisyah, 29) memaklumkan dia pernah ternampak kad ikrar organ dalam dompet abangnya itu.

"Selepas pemeriksaan dibuat, ternyata ianya betul. Ini kerana pada usia 20 tahun semasa belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Sri Iskandar, Amirrulmukminin pernah menyuarakan kepada kami hasratnya itu.

"Namun kami ingatkan ia hanya gurauan sahaja, tidak sangka ianya betul," katanya ketika ditemui di Perumahan Desa Darulnaim, Pasir Tumbuh di sini pada Selasa.

Menurut bapa kepada lapan anak itu, dia reda dan hasrat anak lelakinya itu ditunaikan sepertimana kehendak arwah serta persetujuan semua adik-beradik yang lain.

Ujarnya, beberapa hari sebelum kemalangan berlaku, dia telah mengalami satu kejadian pelik iaitu ternampak arwah di rumah dan sempat menegur Amirrulmukminin.

"Saya tanya bila Amir sampai. Tiba-tiba anak yang lain bagitahu itu bukan Amir tetapi anak bongsu saya. Kami juga dimaklumkan oleh majikannya, Amir memberitahu dia pulang bercuti kali ini adalah untuk menjaga saya," katanya.

Sementara itu, Annurfatinah, 31, kakak kepada arwah memberitahu, pada hari kejadian abangnya yang bekerja sebagai penyelia tapak di Shah Alam, Selangor beria untuk pulang bercuti di kampung dengan menunggang motosikal, biasanya dia menaiki kereta ataupun bas.

Ujar dia, sehinggalah pada 25 Disember sekitar jam 9.30 pagi mereka menerima panggilan telefon dari Hospital Kemaman memaklumkan tentang keadaan Amirrulmukminin.

"Selepas apa yang berlaku ini, banyak perkara yang kami pelajari antaranya sebelum operasi pendermaan organ dilakukan, ia perlu mendapatkan persetujuan ibu bapa serta adik beradik lain.

"Disebabkan ini kami semua lapan beradik berkumpul dan mewakilkan abang sulung untuk urusan selanjutnya, manakala ibu sudah meninggal dunia tahun lalu.

"Kemudian selain pihak hospital, hadir sama ialah majistret serta pegawai polis untuk memastikan ia tiada unsur paksaan. Kami juga rasa terharu melihat penghormatan terakhir yang telah dibuat oleh kakitangan hospital kepada arwah sehingga video dimuat naik di media sosial tular," katanya.

Menurut Annurfatinah, jenazah Amirrulmukminin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Binjal jam 9.30 malam pada Sabtu.

Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 12 saat yang memaparkan warga HNZKT berbaris panjang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Amirrulmukminin selepas dia mendermakan organ.

Video itu mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet selain tidak putus menitipkan doa kepada roh Amirrulmukminin.