KUALA LUMPUR - Penolong Eksekutif Bahasa, Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fatah Aswadi Nasri dinobat sebagai juara Pertandingan Pidato Integriti Piala Ketua Pengarah DBP 2025 dengan mengenepikan dua lagi pesaing terdekat beliau. Tempat kedua dimenangi oleh Perancang Bahasa DBP Kota Kinabalu (Sabah), Azrin Eddy dan tempat ketiga disandang oleh Mohammad Sayd Samsuddin (Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi, DBP Kuala Lumpur).
Pemenang tempat pertama menerima RM1,500 bersama trofi, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM700.
Ketika ditanya persiapan bagi menghadapi pertandingan tersebut, Fatah menyatakan beliau membuat pelbagai persiapan rapi termasuk membuat kajian dan mengumpul pelbagai maklumat berkaitan dengan tajuk-tema pertandingan.
“Dalam membuat persiapan menghadapi Pertandingan Pidato Integriti Piala Ketua Pengarah DBP, saya sedar tujuan saya bukan sekadar turun bertanding. Yang lebih penting ialah usaha untuk menyampaikan mesej tentang integriti iaitu jujur, amanah dan kebenaran dengan cara yang benar-benar sampai kepada khalayak.
“Proses menulis teks pidato sendiri bukan hal yang mudah. Ia menguji cara saya menyusun ayat supaya jelas, mengalir dan memberi kesan.
“Bagi saya, persediaan ini bukan hanya menyiapkan teks, tetapi menyiapkan diri untuk benar-benar hidup dengan nilai yang saya bawa ke pentas,” ujar Fatah lagi.
Bagi Azrin Eddy, beliau tidak menyangka percubaan pertama dan menjadi peserta pertama tampil dalam pertandingan ini memberi tuah kepada beliau.
Jelas beliau dunia pidato adalah asing bagi dirinya dan sedikit sebanyak menguji keupayaannya dalam membuat persiapan hanya dua hari.
“Dalam waktu yang begitu singkat, saya terpaksa mengutip idea, menulis kata-kata menjadi teks, menghafal dan memaksa diri tampil yakin walaupun jiwa masih dirundung ragu.
“Alhamdulillah, rakan-rakan sekerja banyak membantu memperkemaskan teks, melatih intonasi dan memberikan sokongan moral.
“Sebagai peserta pertama yang membuka tirai pentas, perasaan gemuruh sememangnya tidak dapat dielakkan. Namun, saya tekad memberikan persembahan terbaik,” jelas Azrin dengan penuh semangat.
Sementara itu, pemenang tempat ketiga, Mohammad Sayd Samsuddin turut menegaskan penganjuran Pertandingan Pidato Integriti Piala Ketua Pengarah DBP ini sangat wajar diadakan bagi meningkatkan nilai integriti dalam kalangan penjawat adan orang awam.
“Meskipun baru melaporkan diri sebagai Pegawai COS di DBP pada Ogos 2025, saya memberanikan diri menyertai Pertandingan Pidato Piala Ketua Pengarah DBP sebagai penampilan sulung di DBP.
Kajian terhadap tajuk pidato dibuat dari awal penyertaan supaya teks dapat saya sediakan segera.
Seterusnya latihan pun bermula dan adakalanya sampai larut malam. Sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan juga menjadi semangat kepada saya,” terang Mohammad Sayd.
Menurut Ketua Unit Integriti DBP, Mohd Zulkhairi Abdul Ghaffar, Hari Integriti Dewan Bahasa dan Pustaka 2025 disambut selaras dengan Hari Integriti Nasional yang diisytiharkan pada 5 November sejak 2005.
Katanya, sambutan berkenaan bertujuan memupuk kesedaran, membudayakan integriti serta memperkukuh nilai murni dan tadbir urus yang baik dalam kalangan warga DBP, sejajar dengan fungsi teras Unit Integriti seperti yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2013.
“Dengan tema “Memperkukuh Integriti, Menjulang Maruah Organisasi”, sambutan ini menekankan nilai kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti sebagai asas kepada profesionalisme dan kepercayaan masyarakat terhadap DBP.
“Antara objektif utama ialah meningkatkan kefahaman tentang integriti, menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa dan memperkukuh sistem integriti dalaman organisasi,” katanya.
Pelbagai program dirancang termasuk lawatan strategik ke Penjara Kajang, kursus seni pengucapan awam, perasmian sambutan oleh Ketua Pengarah DBP, pertandingan pidato antara jabatan serta pameran daripada agensi rakan kerjasama seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia,” jelas Mohd Zulkhairi.
Pertandingan Pidato Integriti Piala Ketua Pengarah DBP yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir (Wisma DBP) ini disertai oleh 10 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan DBP seluruh negara. Ia dijurikan oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin (ketua hakim), Rosli Mohd Nordin (penerbit dokumentari & model iklan) dan Asri Badrun (personaliti Media Prima).