Aspek integriti, tadbir urus teras kepimpinan Azhan

Iklan
Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat PTD Ke-31.

KUALA LUMPUR - Aspek integriti dan tadbir urus yang telus menjadi teras kepimpinan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jeneral Datuk Azhan Md Othman.

Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat, ia selari dengan insiatif strategik Angkatan Masa Hadapan - Strategi Domain Daratan yang mendokong aspirasi Kertas Putih Pertahanan.

Iklan
Iklan

"Azhan dilantik sebagai PTD Ke-31 berkuat kuasa 1 Januari, selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Ke-631 pada 19 November lalu dan telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 Disember lalu," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Selasa menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat PTD Ke-31 kepada Azhan di Wisma Pertahanan di sini.

Iklan

Menurut kenyataan itu, latar belakang kepimpinan serta pengalaman luas Azhan diyakini mampu memastikan kesinambungan kepimpinan Tentera Darat Malaysia, selain memperkukuh tahap kesiapsiagaan pasukan sebagai teras utama pertahanan negara.

“Selain itu, agenda kesejahteraan anggota dan keluarga Tentera Darat akan terus dilestarikan bagi memastikan kebajikan warga pasukan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Menerusi kenyataan sama, Azhan dengan penuh hormat takzim menyembah ucapan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

“Justeru, Azhan menyeru seluruh warga Tentera Darat Malaysia agar menyatukan tekad, memperkukuh perpaduan dan meningkatkan prestasi demi memastikan Tentera Darat terus mara sebagai angkatan pertahanan yang profesional, berkeupayaan serta diyakini rakyat,” katanya.

Azhan yang dilahirkan di Muar, Johor pada 4 September 1969, memulakan kerjaya ketenteraan selepas mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 1987 sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, sekali gus membentuk kepimpinan serta profesionalisme ketenteraan yang kukuh.

Antara jawatan pernah disandang ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Komander Batalion Siap Sedia Tentera Darat, Komander MALBATT 850-6 serta Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia.