KUALA LUMPUR – Dua pengarah jabatan di Bukit Aman antara enam pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan strategik berkuat kuasa 9 Februari depan.
Pertukaran itu membabitkan jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, selain beberapa jawatan kanan di peringkat kontinjen Sarawak dan unit di Bukit Aman.
Menerusi kenyataan media Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman pada Selasa, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ditukarkan daripada jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik kepada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.
Sementara itu, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang sebelum ini menerajui Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali pula ditukarkan daripada jawatan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Bagi peringkat kontinjen Sarawak, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Polis Daerah Sibu dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan, Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner Polis.
Turut terlibat, Asisten Komisioner Roselina Daud yang sebelum ini mengetuai Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sarawak dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner Polis.
Selain itu, Asisten Komisioner Pozlan Ibrahim yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri, Muar, Johor dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling), Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner Polis.