KOTA DAMANSARA - Pekerja yang berdepan bencana kerja serius mahupun kemalangan ringan seperti terjatuh di rumah ketika 'work from home' (WFH) turut dilindungi di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Pakar Pengurusan Sumber Manusia (HR) Malaysia, Ku Sim Ling berkata, demikian antara persoalan yang sering dibangkitkan pekerja-pekerja seandainya mengalami kecelakaan semasa bekerja dari rumah.
Menurutnya dari sudut pandang seorang HR, perkara tersebut tidak lagi merunsingkan dengan kewujudan skim berkenaan yang memberikan perlindungan komprehensif kepada pencarum.
"Kalau dahulu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, ramai tanya saya jika terjatuh semasa WFH macam mana sehinggakan saya pun pening mahu jawab apa.
"Sekarang 'settle' kerana pekerja akan dilindungi tak perlu fikir dua atau tiga kali kecuali mereka yang ambil keputusan untuk 'opt-out' daripada Skim LINDUNG 24 Jam.
"Itu (tindakan) macam tak bijak sangatlah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika siaran langsung edisi ke-489 Wacana Rakyat Sinar Harian bertajuk 'Kerja 8 Jam, Risiko 24 Jam' bertempat di Strand Mall, di sini pada Sabtu.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama panggilan 'Aunty HR' turut menekankan bahawa jabatan sumber manusia sesebuah syarikat tidak boleh menentukan sama ada pekerja perlu 'opt-in' atau 'opt-out' daripada Skim LINDUNG 24 Jam.
Namun, katanya, HR dibenarkan untuk menasihati pekerja supaya teruskan dengan pilihan 'opt-in' bagi memudahkan urusan tuntutan di kemudian hari.
"Sama juga dengan laporan kemalangan, HR atau majikan bantu pekerja buat 'report' sahaja, selebihnya biar PERKESO tentukan nak lulus atau tolak permohonan.
"Pada akhirnya, majikan dan pekerja mestilah harmoni (dalam mencapai titik tengah persefahaman bahawa risiko bukan sekadar dalam tempoh lapan jam bekerja).
"Kalau syarikat sediakan insurans, bagus. Tetapi, banyak syarikat di Malaysia khususnya sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PKMS) tak sediakan cuma sekurang-kurangnya adakanlah perlindungan (Skim LINDUNG 24 Jam)," jelasnya.
Sementara itu, Aunty HR secara peribadi melihat PERKESO sebagai badan perlindungan sosial yang berkembang jauh lebih baik berbanding semasa dirinya mengendalikan satu tuntutan kes pada 20 tahun lampau.
Pada waktu tersebut, kata beliau, sekurang-kurangnya tiga bulan masa diambil untuk PERKESO memproses permohonan.
"Tetapi hari ini PERKESO sudah menjadi lebih bagus, malah saya amat kagum dengan teknologi dimilikinya. Pencarum nak 'opt-in' atau 'opt-out' pun boleh buat dalam talian sahaja.
"Saya puji PERKESO kerana melakukan banyak penambahbaikan yang sangat memudahkan banyak pihak," ujarnya.