PENGLIBATAN hampir empat dekad dalam perniagaan pasar tani melayakkan Muhaddis Misman, 58, dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Tokoh Usahawan Pasar Tani 2025.
Anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan dan pengalaman luas beliau dalam bidang keusahawanan pasar tani, selain peranan aktifnya dalam memimpin dan memajukan komuniti peniaga.
Muhaddis berkata, beliau memulakan perniagaan pada akhir 1980-an di Pasar Tani Kampung Melayu Subang, sekali gus menjadi permulaan kepada perjalanan panjangnya dalam dunia perniagaan.
“Saya bermula sebagai petani tegar dan alhamdulillah sambutan perniagaan di pasar tani amat menggalakkan sebelum berdepan cabaran selepas 1997.
"Kini, hampir mencecah usia 60 tahun, hasrat saya adalah untuk menyerahkan kesinambungan perniagaan ini kepada anak,” ujarnya.
Muhaddis ditemui pada Majlis Seuntai Kasih bersama peniaga Pasar Tani Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berlangsung di sebuah hotel di Seksyen 14, di sini pada Isnin malam.
Pengerusi Jawatankuasa Pasar Tani Kampung Melayu Subang itu turut dikenali sebagai usahawan berpengalaman, berdisiplin dan mudah bekerjasama, selain memainkan peranan penting dalam memimpin serta memajukan pasar tani sehingga menjadi contoh kepada peniaga lain.
Dalam majlis sama, Anugerah Inspirasi Muda Pasar Tani 2025 pula disampaikan kepada Muhammad Yusuf Abdul Wahid, 31, yang meneruskan perniagaan keluarga diwarisi daripada arwah ayahnya sejak lebih 13 tahun lalu, termasuk melalui pendekatan pasaran digital bagi memastikan perniagaan kekal moden dan relevan.
Sementara itu, Anugerah Pengurusan Pasar Tani Terbaik dimenangi Pasar Tani Shah Alam, diterima oleh pengerusinya, Abd Latif Md Ali, 58, merupakan kemenangan kedua selepas kejayaan peringkat kebangsaan pada 2009, melibatkan seramai 160 peniaga.
Terdahulu, majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahru yang menegaskan, keperluan mengekalkan peranan pasar tani dengan penambahbaikan melalui penggunaan teknologi dan pendigitalan.
Beliau berkata, kerjasama dengan platform seperti TikTok dan Lazada membolehkan peniaga meningkatkan 20 hingga 30 peratus jualan menerusi platform dalam talian, di samping meneruskan jualan secara tradisional.
“Peniaga boleh menerima tempahan secara online sehari sebelum berniaga dan menjadikan pasar tani sebagai titik pengambilan, sekali gus membolehkan jualan diperoleh lebih awal,” ujarnya.
Menurutnya, FAMA juga akan memperluaskan program khusus keusahawanan, jualan, perkhidmatan serta pengurusan kewangan dengan melibatkan ahli keluarga dan generasi muda peniaga bagi memastikan kelangsungan pasar tani.
Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.