MANCHESTER United kini berada di persimpangan penting selepas menamatkan khidmat Ruben Amorim, hanya 14 bulan selepas beliau dilantik sebagai pengurus dari Sporting Lisbon.
Keputusan itu dipercayai berpunca daripada hubungan yang semakin tegang antara Amorim dan pihak pengurusan kelab, khususnya berhubung isu kuasa serta peranan sebagai pengurus. Pakar perpindahan, Fabrizio Romano, melaporkan United sudah mula menyenaraikan calon pengganti bagi menstabilkan pasukan.
Bekas pengendali England, Gareth Southgate, antara nama yang disebut selepas kini tidak terikat dengan mana-mana kelab.
Beliau dikenali dengan keupayaan membina kestabilan pasukan, namun pendekatan pragmatik sering mengundang perdebatan di peringkat kelab.
Enzo Maresca turut berada dalam radar selepas berpisah dengan Chelsea.
Dalam tempoh singkat, beliau membawa Chelsea kembali ke Liga Juara-Juara dan menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2025, menjadikan pengalamannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai nilai tambah.
Nama Xavi Hernandez sekali lagi dikaitkan dengan United.
Bekas jurulatih Barcelona itu pernah menghadiahkan kejuaraan La Liga dan Piala Super Sepanyol, selain terkenal dengan falsafah penguasaan bola yang boleh membawa perubahan di Old Trafford.
Thiago Motta, yang mencuri perhatian bersama Bologna di Itali hingga layak ke Liga Juara-Juara, juga disenaraikan.
Namun, tempoh singkatnya bersama Juventus menjadi antara faktor yang perlu diberi perhatian.
Bekas jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic, dilihat sebagai calon jangka panjang.
Pengalamannya sebagai penolong jurulatih di West Ham memberi kelebihan dari segi pendedahan EPL.
Stefano Pioli, yang pernah membawa AC Milan menjuarai Serie A, kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Al Nassr.
Pengalamannya mengendalikan kelab besar dilihat sesuai dengan tekanan di United.
Dalam pada itu, tiga bekas pemain United turut disebut sebagai calon berpotensi.
Legenda kelab, Ruud van Nistelrooy, pernah berkhidmat sebagai penolong dan pengurus sementara, manakala Laurent Blanc memiliki pengalaman luas bersama Paris Saint-Germain (PSG), skuad kebangsaan Perancis, dan Al Ittihad.
Seorang lagi bekas pemain, Michael Carrick, kini tanpa kelab selepas meninggalkan Middlesbrough.
Pemahamannya terhadap budaya dan identiti Manchester United dianggap sebagai aset penting.
The Red Devils dijangka membuat keputusan dalam masa terdekat bagi memastikan kestabilan pasukan dan kesinambungan prestasi dalam saingan domestik serta Eropah.