Peniaga curi elektrik lombong bitcoin didenda RM80,000

Iklan
Siong Hong mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Isnin. Foto: ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Seorang peniaga didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas kesalahan melakukan penyambungan haram elektrik bagi kegiatan perlombongan bitcoin.

Hakim Nik Habri Mohamad mengenakan denda terhadap orang kena saman (OKS), Loo Siong Hong, 43, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Iklan
Iklan

“Kes sebegini tidak banyak di Kota Bharu. Saya harap ini yang pertama dan terakhir. Saya mahu hukuman ini buat kamu dan orang lain serik,” katanya.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa menghalang meter elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada merekodkan penggunaan elektrik secara sempurna dengan membuat sambungan haram pada terminal keluaran suis fius di panel meter, yang kemudian dialirkan ke premis melalui batang kabel logam serta ditamatkan pada sistem komputer.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Lundang kira-kira jam 3 petang pada 15 Oktober tahun lalu.

OKS didakwa mengikut perenggan 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] dan boleh dihukum di bawah subsubperenggan 37(3)(A)(ii) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, akta tersebut memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Jabatan Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga, Khairul Nizam Mohd Kamal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, OKS merayu agar hukuman denda diringankan tanpa hukuman penjara, dan menyatakan kekesalan atas perbuatannya.

“Saya beri kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Tenaga.

“Sebagai peniaga kecil, pendapatan saya tidak menentu dan saya menanggung kos rumah serta ibu,” katanya.

Khairul Nizam bagaimanapun memohon hukuman setimpal, dengan menegaskan bahawa sambungan haram untuk perlombongan mata wang kripto adalah berisiko dan membahayakan keselamatan pengguna lain, selain merupakan kes bersiri yang melibatkan kepentingan awam.

“Kes kecurian elektrik bagi tujuan perlombongan bitcoin ini bukan bersifat tipikal, sebaliknya jenayah terancang dan memberi kesan besar kepada pengguna awam.

“Kecurian ini menyebabkan TNB kerugian dianggarkan berjumlah RM1.33 juta akibat kehilangan sistem, sekali gus menjejaskan kos operasi dan sistem bekalan elektrik,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pengguna yang tidak bersalah terpaksa menanggung implikasi kenaikan tarif elektrik susulan kecurian tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000 terhadap OKS atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda dan dia membayar denda tersebut.