Pusat beli-belah baharu bukan punca lambakan di Pulau Pinang

Iklan
Tony (kiri) mengiringi Kon Yeow mengadakan lwatan kerja di PWCC pada Isnin.

GEORGE TOWN – Pusat beli-belah yang akan dibangunkan di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) tidak akan menyebabkan lambakan pusat beli-belah di Pulau Pinang kerana ia merupakan sebahagian daripada pembangunan bercampur yang dirancang secara bersepadu.

Pengarah Pembangunan Jangka Panjang IJM, Datuk Tony Ling Thou Lung berkata, pusat beli-belah tersebut bukan dibangunkan secara bersendirian sebaliknya berfungsi sebagai pemangkin kepada keseluruhan pembangunan yang merangkumi pusat konvensyen, ruang pejabat dan hotel.

Iklan
Iklan

“Pusat beli-belah ini adalah sebahagian daripada pembangunan bersepadu.

"Ia diwujudkan untuk menyokong fungsi pusat konvensyen, pejabat dan hotel yang ada di kawasan ini, bukan untuk menambah lambakan pusat beli-belah,” katanya selepas memgiringi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam lawatan kerja ke PWCC di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau menambah, isu lambakan pusat beli-belah bergantung kepada lokasi dan perancangan pembangunan, namun bagi PWCC, pusat beli-belah itu mempunyai peranan khusus dalam menyediakan kemudahan dan ameniti kepada kawasan sekitarnya.

“Dalam konteks pembangunan PWCC, pusat beli-belah ini berfungsi sebagai pemangkin yang menyediakan kemudahan kepada pengunjung pusat konvensyen, penyewa pejabat, pelancong hotel serta komuniti sekitar,” jelasnya.

Iklan

Mengulas mengenai penyewa utama, beliau berkata, beberapa penyewa telah dikenal pasti namun maklumat lanjut hanya akan diumumkan menjelang pembukaan pada April nanti.

“Kami akan tampil dengan kejutan termasuk kehadiran penyewa baharu sama ada dari dalam negara mahu pun luar negara,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pembukaan PWCC dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan.

Menurutnya, selain itu, ia juga sebagai lokasi penganjuran acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pamera (MICE) bukan sahaja di wilayah utara semenanjung malah di peringkat nasional.

"Pembukaan PWCC sejak Oktober lalu telah menambah satu lagi kemudahan strategik kepada ekosistem MICE sedia ada di negeri ini.

“Saya menyambut baik pembukaan PWCC yang mana, menjelang pertengahan tahun ini, pusat membeli-belah, ruang pejabat serta hotel juga akan siap sepenuhnya. Ini akan menjadi satu pusat yang amat penting dalam meningkatkan potensi Pulau Pinang sebagai pusat penganjuran acara-acara MICE,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, aktiviti MICE di Pulau Pinang merekodkan impak ekonomi dianggarkan melebihi RM1 bilion, merangkumi sektor pengangkutan, peruncitan, perhotelan serta rantaian bekalan.

"Penambahan satu pusat MICE ini bukan untuk bersaing dengan kemudahan sedia ada, tetapi membolehkan Pulau Pinang memperluas potensinya sepenuhnya sebagai pusat pelancongan dan MICE di kawasan Utara.

"Dengan penambahan PWCC, kita menjangkakan impak ekonomi ini akan melonjak pada 2026. Angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana permintaan terhadap penganjuran acara semakin bertambah,'' katanya.