Penduduk, NGO bantah cadangan tukar zon hutan di Meru Valley

Iklan
Wakil penduduk dan NGO yang hadir dalam sesi pendengaran awam bersama Exco Kerajaan Negeri bagi membantah cadangan pengubahan guna tanah Daripada Zon Hutan Kepada Zon Perumahan dan Pertanian di kawasan Meru Valley.

IPOH - Penduduk setempat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar membantah cadangan pengubahan guna tanah daripada zon hutan kepada zon perumahan dan pertanian di Meru Valley di sini.

Bantahan melibatkan kawasan seluas kira-kira 18.62 hektar itu dikemukakan kerana dibimbangi memberi kesan serius terhadap alam sekitar dan keselamatan komuniti.

Iklan
Iklan

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, bantahan itu telah dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran (JSTP) bagi Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 (Pengubahan), susulan penyertaan awam yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober tahun lalu.

"Kawasan ini sebelum ini merupakan sebahagian daripada Hutan Simpanan Kekal (HSK) Kledang Saiong yang dimansuhkan warta pada 24 Oktober 2019.

Iklan

"Walaupun kini berstatus tanah milik, ciri geofizikalnya sangat sensitif dan sebarang kerja tanah berisiko menyebabkan hakisan, banjir lumpur serta konflik manusia dan hidupan liar," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan luar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sini pada Isnin.

Wakil penduduk menunjukkan peta lokasi cadangan pengubahan guna tanah Daripada Zon Hutan Kepada Zon Perumahan dan Pertanian di kawasan Meru Valley.

Iklan

Beliau berkata, dalam sesi pendengaran awam bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng, mereka dimaklumkan bahawa perkara itu akan dibawa ke jawatankuasa teknikal sebelum diputuskan Jawatankuasa Perancang Negeri.

"Setakat ini, belum ada lagi pembangunan dilaksanakan kerana ia masih pada peringkat permohonan cadangan penukaran zon.

"Kita bimbang bila sudah lulus, baru kita nak bantah, tidak ada makna. Jadi kita buat bantahan sebelum kelulusan," katanya.

Penduduk, Tim, 59, berkata, kawasan cadangan penukaran zon itu terlalu hampir dengan penempatan lebih 1,000 penduduk terutama unit kondominium.

"Sempadannya betul-betul di belakang rumah tanpa zon penimbal. Kawasan itu curam dan masih berhutan, tetapi cadangan zon perumahan dan pertanian dibuat di atas bukit.

"Ini sangat membimbangkan dari segi keselamatan dan alam sekitar," katanya.

Seorang lagi penduduk, A Jeyaraj, 86, bimbang risiko limpahan air sungai memberi kesan luar jangka kepada kawasan perumahan terutama ketika hujan lebat.

“Kami bercakap berdasarkan pengalaman hidup di situ. Setiap kali hujan, paras air sungai naik hampir menyamai benteng.

"Jika berlaku kegagalan struktur, air akan terus masuk ke rumah. Ini bukan teori, ini realiti yang kami hadapi," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr D Jeyakumar berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima kira-kira 400 aduan daripada NGO dan komuniti setempat berkaitan perkara itu.

"Oleh itu, kami berharap, Pihak Berkuasa Negeri memperhalusi semula dan membatalkan cadangan pengubahan guna tanah ini demu keselamatan rakyat," katanya.