MAKASSAR – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menikam abang kandungnya sehingga maut dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang, dalam kejadian di Jalan Cendrawasih, Kecamatan Mamajang di sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Sektor Mamajang, Kompol Mustari berkata, suspek berusia 29 tahun, dikenali sebagai Arif diberkas dalam tempoh kurang satu jam selepas kejadian.
“Suspek bertindak sendirian dan mangsa disahkan meninggal dunia. Suspek berjaya ditahan di rumah keluarganya,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Mangsa, Hutomo, 34, dipercayai diserang di tempat kerjanya berhampiran kawasan tanah lapang.
Pasukan forensik Polda Sulawesi Selatan bersama anggota polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
Menurut Mustari, hasil siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada pertikaian hutang berjumlah 1 juta rupiah (sekitar RM242) yang didakwa belum dilunaskan mangsa.
“Hubungan mereka adalah adik-beradik. Perselisihan berlaku kerana isu hutang piutang,” jelasnya.
Mangsa mengalami empat kesan tikaman pada beberapa bahagian badan, termasuk rusuk kanan serta kawasan siku bahagian dalam dan luar.
Mangsa dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Polis turut merampas senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.
Suspek bersama barang bukti diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Polrestabes Makassar bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang jenayah Indonesia berkaitan pembunuhan. - Agensi