LAGOS - Sekurang-kurangnya 25 orang disahkan maut selepas sebuah bot yang dinaiki mereka terbalik di Nigeria, menurut pegawai pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kejadian berlaku lewat Sabtu melibatkan sebuah bot yang membawa 52 penumpang ketika dalam perjalanan dari bandar Adiyani di Kawasan Kerajaan Tempatan Guri, negeri Jigawa, ke Garbi di Kawasan Kerajaan Tempatan Nguru, negeri Yobe.
Seramai 13 penumpang berjaya diselamatkan, manakala laporan awal pihak berkuasa memaklumkan 14 yang lain masih hilang.
Setiausaha Eksekutif Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Yobe, Mohammed Goje berkata kepada Anadolu bahawa mangsa dalam perjalanan untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan, pertanian dan urusan perniagaan tempatan lain ketika kanu itu terbalik di pertengahan perjalanan.
"Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Yobe mengesahkan nahas kanu yang malang itu berlaku di sepanjang laluan perairan Nguru,” kata Goje.
"Pasukan mencari dan menyelamat kami masih berusaha dengan kerjasama agensi keselamatan dan sukarelawan komuniti setempat untuk mengesan mereka yang hilang." - Bernama