Tiga lelaki disyaki terlibat kes pecah rumah diburu

Iklan
Suspek meninggalkan pacuan empat roda sebelum meloloskan diri ke dalam hutan di Bentong. - Foto IPD Rompin.

ROMPIN – Polis sedang memburu tiga lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah dan melarikan sebuah sebuah pacuan empat roda di Muadzam Shah di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Bhai Sharif Mondoi berkata, mangsa berusia 39 tahun telah membuat laporan selepas suspek melarikan barang berharga dan wang tunai yang berjumlah RM70,000 kira-kira jam 5 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek juga menggunakan kenderaan jenis Nissan Navara milik mangsa yang diletak di dalam pagar rumah untuk meloloskan diri.

"Bertindak atas maklumat sistem penentu posisi global (GPS) yang dipasang pada kenderaan mangsa, kita berjaya menjejaki lokasi kenderaan itu sekitar jam 10 pagi berhampiran Tapak Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Jambu Rias, Karak, Bentong.

Iklan

"Namun, sebaik menyedari kehadiran pihak polis yang menghampiri kenderaan tersebut bagi pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri dan polis mengejar jauh 10 kilometer hingga ke Kampung Chinta Manis di Karak.

"Suspek seterusnya meninggalkan kenderaan tersebut dan berjaya melarikan diri ke dalam kawasan hutan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Susulan itu Sharif Bhai berkata, kenderaan curi itu berjaya dijumpai dan dibawa ke Balai Polis Karak untuk tindakan lanjut.

"Walaupun suspek berjaya melarikan diri ke hutan berdekatan, tapi usaha mengesan suspek masih dijalankan.

"Kita memohon mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada Bilik Gerakan Polis Rompin di talian 09-4145222," katanya.