30 minit tangkap ular sawa 80kg

Iklan
Seekor ular sawa gergasi sepanjang kira-kira tujuh meter berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Kampung Sera, Baling pada Ahad. Foto APM Baling

BALING – Seorang pekerja ladang berdepan detik cemas apabila menemui seekor ular sawa gergasi sepanjang kira-kira tujuh meter dan seberat hampir 80 kilogram di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sera di sini pada pagi Ahad.

Pekerja ladang terbabit menyedari kehadiran reptilia berkenaan kira-kira jam 10.15 pagi ketika menjalankan rutin harian sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Iklan
Iklan

Ular sawa gergasi yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sera, Baling pada pagi Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki dikenali sebagai Mandu.

Iklan

“Sebaik tiba di lokasi, anggota kami mendapati seekor ular sawa bersaiz luar biasa berada di kawasan ladang.

"Operasi tangkapan segera dijalankan menggunakan peralatan khas bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Ular sawa tersebut dibawa ke PKOD Baling sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

Mohd Faizol berkata, operasi menangkap ular sawa berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit dan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Disebabkan saiznya yang besar, APM Baling terpaksa menggunakan sebuah lori untuk membawa ular sawa tersebut ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Baling sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pantas dan kerjasama orang awam amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh membahayakan nyawa,” katanya.