KUANTAN - Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang didapati menaikkan harga kelengkapan persekolahan secara tidak munasabah.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ini bagi memastikan pengguna khususnya ibubapa yang membuat persiapan persekolahan tidak terbeban.
"Kita tidak mengawal harga barang sebab kita dalam pasaran ekonomi terbuka, tapi dalam masa yang sama kita juga tengok supaya tidak berlaku pencatutan.
"Kalau (ada) harga tidak wajar dan berlaku pencatutan, maka kita ambil tindakanlah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program serahan baucar kembali ke sekolah 2026 di sini pada Ahad.
Baucar tajaan kelengkapan sekolah berjumlah RM10,000 hasil kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Pahang.
Sumbangan ini disalurkan dalam bentuk baucar bernilai RM100 setiap satu kepada pelajar terpilih bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya mereka yang terkesan.
Menjawab mengenai bekalan kelengkapan persekolahan, Fuziah memaklumkan, setakat ini bekalan mencukupi dan pihak KPDN bekerjasama dengan pelbagai pasar raya serta pengedar tempatan bagi memastikan stok sentiasa tersedia.
Menyentuh mengenai Jualan Rahmah Kembali ke sekolah, Fuziah memberitahu, program ini menawarkan diskaun sehingga 30 peratus dan membantu ibu bapa mendapatkan barangan sekolah anak-anak dengan harga berpatutan.
"Pelaksanaan program ini bermula pada 18 Disember lalu hingga 11 Januari ini sebagai langkah menangani kos sara hidup menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu," katanya.