CARACAS – Sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk warga awam dan anggota tentera, maut dalam operasi ketenteraan berskala besar Amerika Syarikat di Venezuela yang menyaksikan penahanan Presiden Nicolás Maduro dan isterinya, menurut pegawai kanan Venezuela yang dipetik oleh The New York Times.
Presiden AS, Donald Trump, mengesahkan bahawa Washington telah melancarkan serangan ketenteraan besar terhadap Venezuela dan membawa Maduro serta isterinya ke atas kapal perang AS sebelum dibawa ke New York.
Sebelum ini, Peguam Negara AS, Pam Bondi, memaklumkan bahawa Maduro telah didakwa di Daerah Selatan New York berkaitan kes dadah, dengan menyatakan bahawa sebaik sahaja berada di tanah AS, pasangan itu 'akan berdepan keadilan AS atas kesalahan dadah dan keganasan.'
Sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan pada malam Sabtu, sekurang-kurangnya tujuh letupan dilaporkan berlaku di Caracas, dengan saksi melihat pesawat terbang rendah, asap kelihatan berhampiran pangkalan tentera utama, serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Rakaman letupan itu tersebar luas di media sosial ketika penduduk bergegas ke jalanan.
Media antarabangsa melaporkan bahawa letupan itu berlaku susulan peningkatan kegiatan ketenteraan AS di rantau itu, termasuk penyebaran kapal induk dan kapal perang ke kawasan Caribbean.
Sumber AS yang dipetik oleh media menyatakan bahawa Presiden Trump memberi kuasa untuk melancarkan serangan ke sasaran dalam Venezuela.
Presiden Maduro mengisytiharkan darurat kebangsaan, menuduh Amerika Syarikat melakukan 'pencerobohan ketenteraan' dan menyeru mobilisasi rakyat.
Insiden ini menandakan peningkatan ketegangan ketara antara Washington dan Caracas, di tengah-tengah laporan operasi AS terhadap laluan penyeludupan dadah di rantau itu dan spekulasi mengenai tindakan ketenteraan yang lebih luas.
Operasi itu turut menyebabkan perjalanan udara Caribbean terjejas teruk, dengan ratusan penerbangan dibatalkan akibat sekatan ruang udara selepas penahanan Maduro.
Menurut FlightRadar24, tiada pesawat komersial yang melalui ruang udara Venezuela pada Sabtu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS turut mengenakan sekatan yang memaksa syarikat penerbangan membatalkan ratusan penerbangan di Caribbean Timur, mengganggu perjalanan pada tempoh cuti yang sibuk.
Menurut laporan The New York Times, lebih 150 pesawat AS dikerahkan untuk menumpaskan pertahanan udara Venezuela, membolehkan helikopter tentera memasuki ibu kota bagi menyerbu kedudukan Maduro.
Angka korban dilaporkan berdasarkan maklumat awal daripada pegawai Venezuela yang meminta identitinya dirahsiakan.
Trump pula menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan 'mentadbir negara itu' sehingga peralihan kuasa dapat dilakukan, menandakan langkah tegas Washington dalam krisis politik Venezuela.-Agensi