PASIR MAS – Gelagat 20 sukarelawan berpakaian lengkap seragam sekolah mencuit hati sekali gus menceriakan suasana apabila mereka bersama-sama meraikan 60 anak-anak asnaf menerusi Program Ceria ke Sekolah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Thirdforce Rantau Panjang di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS) pada Sabtu.
Kelainan ditampilkan apabila kesemua sukarelawan yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu mengenakan pakaian sekolah sebagai simbol sokongan moral, sekali gus menyuntik semangat kepada anak-anak asnaf yang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan secara percuma.
Wakil Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar berkata, program berkenaan bertujuan menceriakan golongan kurang berkemampuan selain memastikan mereka bersedia untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan penuh keyakinan.
Menurutnya, seramai 60 penerima menerima sumbangan kelengkapan sekolah bernilai keseluruhan RM12,000 hasil sumbangan orang ramai melalui YRS, dengan setiap anak dibenarkan membeli barangan bernilai sehingga RM200 seorang.
“Kami sengaja tampil dengan konsep ini supaya anak-anak asnaf tidak rasa rendah diri, sebaliknya lebih bersemangat dan ceria untuk kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita.
Menurut Tuan Zaimah, Program Ceria ke Sekolah akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai pendekatan kreatif bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.
Sementara itu, penerima sumbangan, Irdina Syaza Roslan, 13, berkata dia teruja menerima sumbangan tersebut memandangkan akan melangkah ke alam sekolah menengah pada tahun hadapan.
“Bantuan ini sangat bermakna kerana dapat meringankan beban ibu bapa. Saya gembira dapat membeli pakaian, beg dan kasut sekolah bersama rakan-rakan lain.
“Saya juga teruja melihat sukarelawan berpakaian seperti pelajar sekolah, ia benar-benar menceriakan suasana. Saya janji akan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.