MOSCOW - Pada malam 31 Disember, sebanyak 813 kereta dibakar semasa sambutan Tahun Baharu di Perancis, lapor media Perancis menurut Sputnik/RIA Novosti.
Jabatan Bas-Rhin, yang menempatkan bandar Strasbourg dikenali sebagai"ibu kota Krismas”, mencatatkan jumlah tertinggi insiden berkenaan dengan 117 kereta dibakar, lapor penyiar BFMTV pada Khamis.
Jabatan Rhone, yang ibu kotanya di Lyon, menyaksikan 82 kereta dibakar, diikuti jabatan Gironde di bahagian barat Perancis dan jabatan Val-d’Oise di pinggir bandar Paris, masing-masing merekodkan 36 kereta dibakar. Di jabatan Nord pula, pihak berkuasa merekodkan 32 kereta dibakar.
Kira-kira 90,000 anggota polis dilaporkan dikerahkan bagi mengekalkan ketenteraman di seluruh Perancis pada malam Tahun Baharu. Beberapa anggota polis turut diserang, termasuk di Nimes dan Nanterre.
Menurut pejabat pendakwa raya Paris, seramai 125 orang ditahan di ibu negara itu antara 31 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026, termasuk 33 orang atas kesalahan keganasan dengan niat, 15 orang kerana menyertai kumpulan dengan niat melakukan keganasan atau menyebabkan kerosakan, serta 10 orang kerana memiliki bahan psikotropik.
Pada masa yang sama, sambutan malam Tahun Baharu di bahagian tengah Belanda turut dicemari rusuhan berskala besar, keganasan terhadap anggota perkhidmatan kecemasan dan vandalisme, menurut polis.
Insiden paling serius berlaku di daerah Kanaleneiland dan Overvecht, apabila kumpulan belia menyerang anggota polis secara beramai-ramai dengan melontar bunga api ke arah mereka.
Meriam air dilaporkan digunakan beberapa kali bagi melindungi anggota perkhidmatan kecemasan daripada keganasan. Seorang anggota polis cedera dalam rusuhan.
Di Berlin, Jerman, polis menahan kira-kira 400 orang, manakala lebih 20 anggota penguat kuasa cedera akibat mercun.
Di Hamburg, sekurang-kurangnya 10 anggota polis cedera atas sebab yang sama, manakala di Leipzig, individu tidak dikenali melontar botol kaca ke arah anggota penguat kuasa. - Bernama/Sputnik/Ria Novosti