SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakannya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas.
Jelas bekas Perdana Menteri itu, keutamaannya kini adalah untuk memastikan kelangsungan, kekuatan dan masa depan parti bergerak di landasan tepat.
Iklan
Iklan
"Ada ketikanya kita perlu mengambil satu langkah ke belakang, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan asas, menyusun barisan kepimpinan dan membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.
"Saya menuntut agar seluruh ahli Bersatu kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Ahli Parlimen Pagoh itu pada Selasa lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Muhyiddin dalam masa sama turut menjelaskan, pengunduran beliau daripada jawatan Pengerusi PN bukan tanda kelemahan, sebaliknya bagi membina kekuatan parti yang lebih tersusun dan mampan.
Tegasnya, beliau masih menerajui Bersatu sebagai Presiden dan meskipun beliau tidak lagi memimpin PN, Bersatu kekal sebagai rakan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam PN.