KOTA BHARU – Detik awal Tahun Baharu 2026 disambut penuh makna apabila 25 bayi selamat dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), sekali gus menjadi simbol harapan dan permulaan baharu buat keluarga terlibat.
Pengarah HRPZ II, Dr Izamin Idris berkata, daripada jumlah tersebut, 16 bayi lelaki dan sembilan bayi perempuan dilahirkan sehingga jam 2 petang pada Khamis.
Menurutnya, kelahiran pertama direkodkan seawal jam 12.29 tengah malam, melibatkan seorang bayi perempuan yang menjadi bayi terawal membuka tirai tahun baharu di hospital berkenaan.
“Setiap kelahiran adalah satu anugerah yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada keluarga, malah menjadi amanah besar kepada pihak hospital untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Beliau berkata, bersempena kelahiran bayi tahun baharu itu, pihak hospital turut mengadakan sambutan simbolik sebagai tanda kesyukuran serta doa kesejahteraan buat semua bayi yang dilahirkan.
Katanya, pihak HRPZ II berharap agar bayi-bayi berkenaan membesar dengan sihat, sejahtera dan menjadi insan berguna kepada masyarakat, agama serta negara.
Dalam perkembangan sama, Dr Izamin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja HRPZ II yang sentiasa komited dan bertungkus lumus memastikan kebajikan pesakit, khususnya ibu-ibu yang baru melahirkan anak, sentiasa terpelihara tanpa mengira masa.