SHAH ALAM – Helah seorang remaja lelaki yang mendakwa meminjam motosikal milik rakannya terbongkar apabila pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki lesen memandu dalam Op Ambang Tahun Baharu 2026 di Plaza Tol Setia Alam di sini, pada Khamis.
Selain itu pemeriksaan turut mendapati nombor pendaftaran pada motosikal terbabit telah diubah suai.
Dalam operasi sama, beberapa penunggang motosikal dilihat cuba mengelak daripada pemeriksaan dengan memperlahankan kenderaan secara mencurigakan sebelum bertindak memecut sebaik menyedari kehadiran anggota trafik.
Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahan penunggang terbabit untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ merupakan antara kesalahan tertinggi direkodkan sepanjang operasi berkenaan.
Menurut beliau, secara keseluruhan sebanyak 111 saman dikeluarkan dengan 39 daripadanya melibatkan kesalahan mengubah suai nombor pendaftaran.
"Kesalahan lain yang direkodkan termasuk tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin pandang belakang masing-masing 13 saman, lesen kenderaan motor tamat tempoh serta tiada lesen memandu masing-masing 10 saman.
"Turut dikesan ialah kesalahan ubah suai ekzos dan struktur kenderaan masing-masing lapan saman, lampu brek ketiga tidak menyala tujuh saman serta tiga saman kerana tiada perlindungan insurans," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, operasi sama turut menyita tujuh buah kenderaan atas pelbagai kesalahan serius di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Seorang individu turut ditahan di bawah Seksyen 108(3) akta sama.
"Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan dipertingkatkan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.