GURGAON - Seorang wanita berusia 28 tahun dilaporkan menjadi mangsa rogol berkumpulan dalam sebuah van yang sedang bergerak selama lebih dua jam sebelum dicampak keluar di jalan raya pada Selasa.
Kejadian tersebut berlaku pada malam Isnin hingga awal pagi Selasa ketika wanita yang sudah berkahwin itu sedang menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah pada waktu malam.
Sebuah van telah berhenti dan dua lelaki muda memujuk mangsa masuk ke dalam kenderaan tersebut dengan alasan mahu menghantarnya pulang.
Namun, van itu sebaliknya bergerak ke arah berbeza dan mangsa dipercayai berada dalam van berkenaan selama kira-kira dua setengah jam, di mana suspek terus merogolnya.
Walaupun mangsa merayu agar mereka berhenti, suspek didakwa mengugutnya.
Kira-kira jam 3 pagi, mangsa dicampakkan keluar dari van yang sedang bergerak berhampiran Raja Chowk di kawasan SGM Nagar.
Akibat kejadian itu, wanita tersebut mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan mengalami pendarahan yang banyak.
Mangsa kemudian menghubungi kakaknya berulang kali, sebelum kakaknya menyedari kejadian tersebut apabila panggilan dibalas.
Mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya dan menerima 10 hingga 12 jahitan di bahagian muka.
Walaupun keadaannya kini stabil, mangsa masih mengalami trauma dan berada dalam keadaan terkejut.
Dalam laporan polis, kakak mangsa memaklumkan bahawa wanita itu telah menghubunginya sehari sebelum kejadian, kira-kira jam 8.30 malam, dan memberitahu bahawa dia bertengkar dengan ibunya serta ingin ke rumah seorang rakan.
Mangsa turut memaklumkan bahawa dia akan pulang ke rumah dalam tempoh tiga jam.
Mangsa yang telah berkahwin itu mempunyai tiga orang anak dan tinggal berasingan daripada suaminya berikutan pertikaian rumah tangga.
Pihak polis telah menahan kedua-dua suspek dan van yang digunakan dalam kejadian tersebut turut dirampas.