Pengajaran 2025, harapan 2026

Iklan
Tahun baharu seharusnya menjadi titik kembali kepada fokus asal iaitu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa di hadapan. Gambar hiasan

TAHUN 2025 bukan sekadar satu lagi helaian kalendar. Ia penuh dengan peristiwa besar yang menguji ketahanan negara.

Ada yang meninggalkan luka, ada pula yang mengangkat nama Malaysia di mata dunia. Semua itu sepatutnya menjadi bekal penting ketika melangkah ke 2026.

Iklan
Iklan

Awal dan pertengahan 2025 menyaksikan negara digemparkan dengan beberapa tragedi. Letupan paip gas di Putra Heights mengingatkan tentang risiko infrastruktur dan keselamatan komuniti.

Kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik yang meragut nyawa anak muda pula menyentak emosi seluruh negara, membuka semula persoalan tentang keselamatan pengangkutan awam.

Iklan

Dalam tempoh sama, banjir berulang di beberapa negeri serta episod cuaca panas memperlihatkan betapa rapuhnya kehidupan harian apabila berdepan perubahan iklim dan kelemahan kesiapsiagaan.

Namun, 2025 juga mencatat sisi yang membanggakan. Malaysia menjadi tumpuan dunia dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN termasuk kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menonjolkan peranan negara di pentas diplomasi antarabangsa.

Iklan

Detik-detik ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk berdiri yakin di peringkat global, jika fokus dan perancangan diberi keutamaan.

Sayangnya, penutup 2025 tidak begitu cantik. Kemelut pentadbiran di Perlis menjadi sorotan ketika rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup dan kesan cuaca ekstrem.

Ia berlaku ketika negara masih mempunyai baki masa sebelum Pilihan Raya Umum ke-16, tempoh yang sepatutnya dimanfaatkan untuk bekerja, bukan berpolitik tanpa henti.

Masuknya 2026, cabaran terdekat sudah menanti. Tahun Baharu Cina pada 17 Februari diikuti Ramadan sekitar 19 Februari dan Hari Raya Aidilfitri yang jaraknya rapat, bermakna tekanan perbelanjaan, bekalan dan pergerakan rakyat akan berlaku serentak.

Apa yang baik pada 2025 wajar diperkukuh. Apa yang buruk pula mesti dijadikan pengajaran agar tidak berulang.

Tahun baharu seharusnya menjadi titik kembali kepada fokus asal iaitu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa di hadapan.