BYTEDANCE dilaporkan merancang untuk membelanjakan kira-kira 100 bilion yuan atau AS$14.29 bilion bagi pembelian cip kecerdasan buatan (AI) daripada Nvidia pada 2026, meningkat ketara berbanding sekitar 85 bilion yuan pada tahun sebelumnya.
Akhbar South China Morning Post (SCMP) melaporkan pada Rabu bahawa perbelanjaan tersebut bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk membolehkan Nvidia menjual unit pemprosesan grafik (GPU) H200 di China.
Menurut laporan itu, bajet berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan perbelanjaan modal agresif ByteDance dalam bidang AI bagi 2026 meskipun angka tersebut masih tertakluk kepada perubahan.
ByteDance yang berpangkalan di Beijing kini mempunyai penilaian pasaran persendirian sekitar AS$500 bilion dan telah membangunkan unit reka bentuk cip dalaman yang menggaji kira-kira 1,000 kakitangan.
Sumber berkata, unit dalaman itu mencatat kemajuan dalam proses ‘tape-out’ bagi satu pemproses yang menyamai prestasi cip H20 Nvidia, versi cip yang ditala khusus untuk pasaran China, namun pada kos lebih rendah.
“Langkah tersebut sejajar dengan usaha syarikat teknologi China untuk membangunkan cip sendiri bagi memastikan kawalan jangka panjang terhadap rantaian bekalan dan kos,” katanya.
Dalam pada itu, ByteDance yang mengendalikan platform media sosial TikTok dan Douyin turut melabur dalam teknologi memori termasuk memori jalur lebar tinggi menerusi gabungan pembangunan dalaman dan pegangan dalam syarikat pemula niaga berkaitan.
Bagaimanapun, ByteDance tidak mendedahkan secara terbuka bajet cip atau pelan pembangunan semikonduktornya dan tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Keperluan pengkomputeran ByteDance meningkat pesat sejajar dengan pertumbuhan portfolio aplikasi globalnya, perniagaan awan Volcano Engine serta pembangunan model bahasa berskala besar.
Volcano Engine dijadual menjadi rakan kongsi awan AI eksklusif bagi Gala Festival Musim Bunga Televisyen Pusat China (CCTV), iaitu siaran televisyen paling banyak ditonton di negara itu.
Chatbot ByteDance, Doubao, dilaporkan memproses lebih 50 trilion token sehari bulan ini, meningkat daripada sekitar 4 trilion token pada Disember 2024.
Presiden Volcano Engine, Tan Dai, sebelum ini berkata, lebih 100 pelanggan korporat telah menggunakan lebih 1 trilion token melalui platform itu setakat ini.
Dalam perkembangan lain, unit cip ByteDance dilaporkan bekerjasama rapat dengan Seed, pasukan penyelidikan AI termaju syarikat berkenaan dan telah dipindahkan kepada anak syarikat berdaftar di Singapura, Picoheart, pada September lalu susulan ketegangan geopolitik antara China dan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Nvidia berharap dapat menghantar cip H200 yang baru mendapat kelulusan kepada pelanggan di China sebelum cuti Tahun Baharu Lunar pada pertengahan Februari, menurut laporan Reuters.
Kumpulan teknologi China dilaporkan menunjukkan minat tinggi terhadap cip berkenaan, namun kelulusan pembelian masih tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa di Beijing. - AGENSI