KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) akan memusatkan jentera kempen bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dengan menempatkan Bahagian-Bahagian di Sabah di setiap pusat daerah mengundi (PDM) di kedua-dua kawasan tersebut.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh gerak kerja jentera parti sepanjang tempoh kempen.
"Kita akan memusatkan jentera kita berdasarkan bahagian-bahagian di Sabah.
"Bahagian-Bahagian akan kita tempatkan di setiap PDM, membantu kita untuk menggerakkan jentera parti. Itu antara rencana kita dan mungkin pucuk pimpinan akan datang pada hari penamaan calon dan mungkin dua, tiga hari sebelum pembuangan undi," katanya kepada pemberita semasa Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jentera kempen BN akan dibantu oleh pimpinan BN Pusat semasa PRK Kinabatangan yang bermula selepas penamaan calon pada 10 Januari depan.
Sementara itu, ditanya sama ada BN akan berdepan tentangan daripada calon lain, Ketua UMNO Sabah itu tidak menolak sebarang kemungkinan.
Namun dalam masa memaklumkan bahawa pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyatakan sokongan kepada calon BN.
"Seperti Ketua Menteri Sabah kata, dia akan... Malah, saya menemuinya dan beliau menyatakan bahawa sokongannya akan kepada parti yang menang.
"Saya menemui sebagian besar Ketua-Ketua Bahagian komponen di dalam kawasan Kinabatangan dan mereka memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon BN.
"Tapi ini adalah demokrasi, kita tidak boleh tahan untuk orang untuk tidak bertanding, apa pun kita akan hadapinya," katanya.
BN sebelum itu menamakan Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai calon di Parlimen Kinabatangan manakala Mohd Ismail Ayob atau Miha, sebagai calon di DUN Lamag dalam PRK yang akan berlangsung 24 Januari depan.
PRK diadakan susulan penyandang bagi kedua-dua kerusi, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.