LIMA - Seorang terbunuh manakala 30 penumpang cedera apabila dua buah kereta api yang membawa pelancong bertembung berhampiran kota purba Inca, Machu Picchu, lapor AP pada Selasa.
Rakaman video yang disiarkan media tempatan menunjukkan gerabak kereta api mengalami kerosakan teruk termasuk cermin pecah dan bahagian sisi kemek, terhenti di laluan rel yang diapit hutan tebal serta bongkah batu besar.
Agensi kereta api memaklumkan bahawa sebuah tren yang dikendalikan oleh PeruRail bertembung dengan sebuah lagi tren milik Inca Rail sekitar waktu tengah hari di landasan tunggal yang menghubungkan bandar Ollantaytambo dengan Machu Picchu.
Menurut pihak polis, pelancong asing antara mangsa yang tercedera dalam kejadian itu dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.
Ambulans bersama pasukan perubatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan terpencil di pergunungan Andes dan tidak mempunyai akses jalan raya secara langsung.
Menurut Kementerian Pelancongan, Machu Picchu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1983 menerima purata kira-kira 4,500 pelawat setiap hari dan kebanyakannya warga asing.
Machu Picchu dibina pada abad ke-15 pada ketinggian kira-kira 2,500 meter dari aras laut dianggap sebagai antara keajaiban seni bina dan kejuruteraan dunia.