PRODUK bakal laris pada 2026 bukan lagi terhad kepada barangan asas sebaliknya semakin dipacu oleh teknologi, kesihatan dan nilai tambah.
Daripada semikonduktor dan automasi hinggalah makanan terproses serta produk halal, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memenuhi keperluan pasaran global yang semakin kompleks dan berdaya saing.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, berdasarkan data jualan 2024 hingga 2025 daripada platform e-dagang serta pemerhatian terhadap trend global, beberapa kategori produk menunjukkan permintaan tinggi yang konsisten dan dijangka terus berprestasi kukuh sehingga tahun 2026.
Trend tersebut didorong peningkatan penggunaan peranti elektronik, kesedaran kesihatan, gaya hidup bandar serta keperluan kemudahan pengguna.
“Dalam segmen elektronik dan gajet, telefon pintar, fon telinga wayarles, jam pintar, pengecas serta peralatan rumah seperti pembersih vakum dan penggoreng udara kekal menjadi antara penjual utama.
“Permintaan kukuh ini disokong oleh kitaran naik taraf teknologi yang pantas serta pelancaran produk baharu yang berterusan.
“Pada masa sama, fesyen dan pakaian, khususnya pakaian sederhana dan Muslim seperti hijab dan baju kurung terus mencatat prestasi positif terutama ketika musim perayaan,” katanya.
Tidak ketinggalan, produk kesihatan dan penjagaan diri termasuk penjagaan kulit, kosmetik halal dan suplemen turut berkembang sejajar dengan trend penjagaan diri yang semakin mapan.
Sementara itu, bagi pasaran eksport, produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama perdagangan negara.
“Pada September 2025, eksport E&E bernilai RM65.14 bilion, menyumbang 47 peratus daripada jumlah eksport dan meningkat 19.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Eksport jentera dan peralatan industri turut mencatat pertumbuhan dua digit, manakala instrumen optik dan saintifik termasuk peranti perubatan dan alat ketepatan menunjukkan peningkatan stabil,” katanya.
Tambah beliau, eksport makanan terproses juga dijangka terus berkembang dengan nilai eksport bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 mencecah RM13.16 bilion, meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun.
“Sebagai barangan keperluan asas, permintaan bagi kategori ini dilihat lebih stabil dan boleh diramal.
“Selain itu, produk berasaskan getah khususnya sarung tangan perubatan serta turunan minyak sawit kekal sebagai eksport penting Malaysia dengan eksport produk sawit mencecah sekitar RM103 bilion bagi Januari hingga November 2025,” katanya.
Jacob turut menekankan bahawa permintaan global terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan automasi menjadi antara pemacu utama menjelang tahun 2026.
Sektor semikonduktor, yang menyumbang kira-kira 40 peratus eksport E&E negara, mencatat pertumbuhan 15 hingga 17 peratus pada 2025, didorong oleh permintaan cip AI, pengkomputeran berprestasi tinggi dan pusat data.
Menurut beliau, Malaysia kini mengekalkan kedudukan sebagai pemain keenam terbesar dunia dalam industri semikonduktor, disokong oleh pelaburan berterusan syarikat teknologi global.
Dalam pada itu, selain sektor teknologi tinggi, produk halal, makanan terproses serta kesihatan dan kesejahteraan dijangka terus mencatat permintaan kukuh.
“Sebagai hab halal global, Malaysia menikmati pertumbuhan eksport 8 hingga 12 peratus setahun, disokong oleh keyakinan terhadap pensijilan JAKIM serta peningkatan populasi Muslim global di pelbagai rantau,” katanya.
Namun di sebalik prospek permintaan yang positif, pengilang berdepan pelbagai cabaran nyata menjelang tahun 2026.
“Ini termasuk kos bahan mentah yang tidak menentu, tekanan kos operasi, kekurangan tenaga kerja mahir serta akses pembiayaan terhad, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“Ketegangan geopolitik, turun naik harga tenaga dan dasar monetari yang lebih ketat turut menambah risiko perniagaan,” katanya.
Menurut Jacob, bagi mengekalkan daya saing, pengilang perlu memberi tumpuan kepada kawalan kos, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan automasi di samping memanfaatkan pelbagai insentif kerajaan di bawah pelan perindustrian negara.
Secara keseluruhan, gabungan produk berteknologi tinggi dan segmen bernilai tambah dijangka terus menjadi tulang belakang permintaan terhadap produk Malaysia pada 2026 meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.