'Berjemaah amanah bersama, bukan ruang tunjuk pandai' - Idris Ahmad

Iklan
Idris Ahmad

SHAH ALAM – Bertindak mengikut pandangan sendiri tanpa mematuhi disiplin dan adab berjemaah boleh membawa mudarat kepada parti serta perjuangan, kata Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, apabila seseorang memilih untuk bersama Pas, individu tersebut secara automatik menjadi sebahagian daripada jemaah yang bukan dimiliki oleh mana-mana individu, sebaliknya merupakan milik bersama yang perlu dipelihara dengan penuh amanah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kesilapan besar dalam beramal secara berjemaah ialah apabila ada pihak merasakan diri mereka paling cerdik, paling berpengalaman atau paling banyak berjasa, lalu menganggap hanya pandangannya sahaja yang betul manakala pandangan orang lain dipandang rendah.

“Cerdik seorang tidak sama dengan kebijaksanaan ramai. Jemaah melihat sesuatu dari sudut yang lebih luas, sedangkan individu sering melihat hanya dari sudut dirinya sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Idris, yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, berkata pengalamannya banyak mengajar bahawa pandangan yang dirasakan paling tepat oleh seseorang, adakalanya tidak benar dan hanya disangka betul oleh individu tersebut sahaja.

Beliau menegaskan bahawa dalam berjemaah, keputusan tidak dibuat untuk memenuhi kehendak individu, sebaliknya berdasarkan pertimbangan maslahat bersama serta kepentingan jangka panjang perjuangan.

Iklan

“Jemaah menolak keputusan yang didorong oleh kepentingan peribadi, walaupun dibungkus dengan alasan kebijaksanaan atau pengalaman,” ujarnya.

Tambah beliau, rasa diri paling pandai sering muncul apabila seseorang berfikir sendirian, namun apabila berhadapan dengan realiti masyarakat dan dunia luar, barulah disedari bahawa masih ramai yang lebih cerdik dan lebih matang.

Idris turut mengingatkan ahli agar sentiasa merendahkan ego, menghormati kepimpinan serta mematuhi disiplin berjemaah.

“Saya memilih untuk terus bersama jamaah. Orang lain mungkin memilih jalan berbeza dan itu hak mereka, kita tidak boleh memaksa.

"Namun realitinya, mereka juga tetap berjemaah, cuma bersama kelompok yang sefikiran dan akhirnya sering bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan berjemaah menuntut pengorbanan termasuk mengurangkan ego dan sanggup menahan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan yang dibuat secara kolektif.

“Inilah harga ketaatan dan disiplin berjemaah. Jika mengaku bersama jamaah tetapi masih mahu bertindak mengikut kepala sendiri dan enggan patuh, akhirnya akan hanyut,” tegasnya.

Idris turut memberi peringatan bahawa sikap enggan tunduk kepada jamaah boleh menyebabkan seseorang terperangkap dengan musuh tanpa disedari, walaupun berhujah kononnya demi menjaga kepentingan jamaah.

“Sejarah telah banyak kali membuktikan bahawa jalan orang yang enggan tunduk kepada jemaah akhirnya tidak membawa kebaikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli Pas agar terus merendahkan ego, belajar untuk taat dan memperkukuh kekuatan bersama melalui kehidupan berjemaah.