SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Ahli ekonomi dan akademik tersohor dari Sarawak, Datuk Dr Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pada jam 11.30 pagi Selasa.
Tokoh masyarakat yang terkenal dengan sumbangan luas dalam bidang pendidikan dan pembangunan komuniti itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun.
Berita mengenai pemergian mendiang turut dikongsi Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
"Saya kehilangan seorang sahabat dan sarjana yang memperjuangkan kehidupan insan, khususnya pembasmian kemiskinan.
"Akademia yang menjiwai perjuangannya. Besar sumbangannya kepada negara," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Madeline merupakan penganalisis ekonomi yang sering berkongsi pendapat dalam laporan berkaitan ekonomi menerusi Sinar Harian.
Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM hingga 2018, selain pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dari 2011 hingga 2016.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menjalankan pelbagai kajian tentang pembangunan ekonomi, khususnya dalam bidang pembangunan kawasan pedalaman, kemiskinan dan wanita.
Di samping itu, beliau aktif dalam bidang ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia, dengan penekanan khusus pada isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan di Sarawak.