BANGKOK – Seorang ibu di Thailand berkongsi pengalaman mencemaskan apabila anak lelakinya terminum bahan pembasmi kuman selepas seorang pembantu rumah sementara dipercayai menuang cecair tersebut ke dalam botol susu bayi berkenaan.
Memetik laporan Thaiger, wanita berkenaan berkongsi kejadian mengejutkan itu menerusi akaun Facebook miliknya pada Jumaat, 26 Disember lalu, selepas insiden terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kediamannya.
Menurut Yokey R, keluarganya menggaji seorang pembantu rumah sementara selama sehari bagi melakukan kerja pembersihan ketika pembantu tetap bercuti, manakala seorang lagi pembantu ditugaskan menjaga anaknya, Kirin.
Katanya, pembantu rumah sementara itu dikenali sebagai Usanee hanya diarahkan membersihkan rumah dan tidak terlibat dalam urusan penjagaan bayi.
Pada sebelah petang hari kejadian, nenek kepada bayi tersebut mengesan bau bahan kimia yang kuat daripada susu dalam botol Kirin selepas bayi itu sempat meminumnya.
Kemudian neneknya mengambil botol dan mencuba sendiri susu, sekali gus merasai bau seperti bahan pembasmi kuman yang sangat kuat dan rasanya pahit.
Susulan kejadian itu, bayi terbabit segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, manakala pembantu rumah berkenaan disoal sebelum dipercayai melarikan diri.
Pemeriksaan rakaman CCTV kemudiannya menunjukkan pembantu rumah tersebut membawa botol susu bayi dari tingkat atas rumah sebelum menuang bahan pembasmi kuman ke dalamnya dan meletakkannya semula di tempat asal.
Rakaman sama turut mendedahkan pembantu rumah berkenaan tidak melakukan kerja pembersihan, sebaliknya berkeliaran di dalam rumah sambil mengambil gambar barangan dan lokasi tertentu.
Bayi terbabit kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun ditahan di hospital bagi pemantauan lanjut atas nasihat doktor.
Ibu berkenaan memaklumkan susu yang tercemar telah dihantar ke makmal untuk ujian lanjut bagi mendapatkan bukti sebelum mengambil tindakan undang-undang.