Lelaki bunuh 9 orang, termasuk 4 anak kandung selepas bertengkar dengan isteri

Iklan
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. Foto X @JasADRxquisites

PARAMARIBO - Seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak kejam dengan menikam mati sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk empat anak kandungnya dalam satu insiden menggemparkan di Richelieu, daerah Commewijne, kira-kira 25 kilometer dari ibu negara Suriname, Paramaribo, pada Ahad.

Menurut Polis Suriname, serangan berlaku selepas suspek bertengkar melalui telefon dengan isterinya yang dilaporkan tidak lagi tinggal bersama.

Iklan
Iklan

Dalam keadaan marah, suspek menyerang beberapa rumah berhampiran menggunakan senjata tajam, menyebabkan kematian lima kanak-kanak dan empat orang dewasa, termasuk jiran-jiran yang cuba campur tangan.

“Suspek cuba menyerang anggota polis yang tiba di lokasi kejadian dan telah ditembak di kaki sebelum ditahan,” kata jurucakap Polis Korps Suriname.

Iklan

Suspek kini dirawat di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dua lagi mangsa, seorang kanak-kanak dan seorang dewasa mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital di Paramaribo.

Iklan

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Presiden Suriname, Jennifer Geerlings-Simons, dalam kenyataan di media sosial menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang tidak dapat digambarkan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Saya doakan kekuatan dan ketabahan buat semua yang terkesan dalam waktu yang amat sukar ini,” katanya.

Insiden ini mengejutkan negara kecil Amerika Selatan itu dan mencetuskan perdebatan mengenai isu kesihatan mental serta keperluan memperketat kawalan terhadap individu yang berisiko tinggi melakukan keganasan domestik. - Awani