PUTRAJAYA – Jam tangan dan beg tangan mewah antara barangan bernilai tinggi yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan penggeledahan yang dijalankan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta kediaman rasmi seorang pegawai kanan Tentera Darat pada Sabtu.
Menurut sumber, penggeledahan yang bermula kira-kira jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu tidak menemukan sebarang wang tunai.
“Bagaimanapun, serbuan membawa kepada sitaan beberapa barangan mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes yang sedang dijalankan.
“Sitaan melibatkan beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan yang dipercayai berkait dengan siasatan,” katanya pada Isnin.
Sumber sama memaklumkan, pegawai kanan Tentera Darat terbabit sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam, namun terpaksa dikejarkan ke hospital sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan,” katanya.
Menurutnya, siasatan kini memfokuskan kepada aliran wang yang disyaki dimasukkan ke dalam akaun milik pegawai kanan Tentera Darat berkenaan, yang kini disiasat sebagai suspek dalam satu kes rasuah melibatkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Pegawai SPRM turut menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa enam akaun bank milik suspek serta ahli keluarganya telah disita bagi membantu siasatan.