SHAH ALAM– redONE Mobile melalui badan amalnya, Yayasan redONE, menganjurkan program agihan makanan bersama Kechara Soup Kitchen (KSK) bagi membantu lebih 230 individu gelandangan dan miskin bandar di Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran berkata, seramai 20 sukarelawan dibahagikan kepada lima kumpulan untuk mengagihkan pek makanan di Dang Wangi, Brickfields, Tun Perak, Pudu dan Petaling Street.
“Program ini menumpukan kepada penyediaan dan pengagihan makanan kepada komuniti yang kurang bernasib baik di bandar. Bekerjasama rapat dengan KSK, sukarelawan memastikan pek makanan disediakan secara teratur serta tepat waktunya sebelum memulakan pengagihan di kawasan masing-masing.
“Sepanjang program, sukarelawan berinteraksi secara langsung dengan komuniti dan menyaksikan cabaran yang dihadapi oleh mereka yang hidup dalam keadaan terpinggir. Program ini memberi pemahaman lebih mendalam tentang keperluan golongan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, usaha itu turut mencerminkan fokus berterusan redONE Mobile terhadap tanggungjawab sosial korporat dengan melebarkan peranan syarikat bukan sekadar menyediakan perkhidmatan komunikasi malah mengambil bahagian aktif dalam pembangunan komuniti.
“Melalui penyertaan pekerja dalam program berasaskan komuniti, syarikat berhasrat memberi impak sosial positif dan menanam semangat empati serta kesedaran sosial dalam kalangan tenaga kerja.
“Kami berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan KSK, membina kerjasama sedia ada dan bersyukur diberi peluang untuk berkolaborasi,” ujar beliau.
Menurutnya, sebagai syarikat telekomunikasi berfokus komuniti, redONE Mobile komited menyokong komuniti bukan sahaja melalui sambungan komunikasi tetapi juga melalui tindakan bermakna.
“Kami berbangga dapat menyumbang bersama rakan kongsi dalam menyampaikan sokongan, empati dan harapan kepada mereka yang memerlukan. Sejak lebih 17 tahun, KSK Society telah berkhidmat untuk komuniti terpinggir di Malaysia termasuk golongan gelandangan, miskin bandar serta Orang Asli.
“Melalui program pengagihan makanan dan usaha pemerkasaan, KSK terus menangani keperluan segera sambil merancang sokongan jangka panjang untuk golongan rentan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif komuniti redONE Mobile dan program akan datang, layari redonemobile.com.my atau ikuti Facebook @redONE Mobile dan Instagram @redonemobile.my.