JAKARTA - Seramai 16 orang maut dalam kebakaran tragis di sebuah rumah penjagaan warga emas di Manado, ibu kota wilayah Sulawesi Utara pada Ahad.
Pihak polis kini sedang bertungkus-lumus menjalankan proses pengecaman identiti mangsa, lapor Xinhua.
Mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Bhayangkara Polda Sulawesi Utara untuk proses pengecaman, menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Daerah Sulawesi Utara (Polda Sulut), Alamsyah P. Hasibuan.
Beliau berkata, proses itu bertujuan mengenal pasti identiti penuh mangsa sebelum diserahkan kepada anggota keluarga untuk urusan pengebumian.
Kebakaran berlaku kira-kira 8.36 malam waktu tempatan pada Ahad di rumah penjagaan warga emas Panti Werdha Damai yang terletak di Kelurahan Ranomuut, Daerah Paal Dua, Manado.
Api berjaya dipadamkan sekitar 9.30 malam selepas tiga jentera bomba milik kerajaan bandar Manado dikerahkan ke lokasi kejadian.
Susulan laporan kebakaran itu, pihak polis segera mengambil tindakan mengawal kawasan kejadian serta membantu operasi menyelamat.
Mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Daerah Kota Manado dan Hospital Permata Bunda.
Pasukan forensik polis turut menjalankan siasatan, termasuk pemeriksaan tempat kejadian dan menemu bual beberapa saksi, bagi menentukan punca kebakaran, menurut Hasibuan.- Bernama-Xinhua