BEIJING – Seorang lelaki lumpuh yang hanya mampu menggerakkan satu jari tangan dan satu jari kaki berjaya membangunkan sistem ladang pintar sehingga menubuhkan sebuah syarikat permulaan.
Li Xia, 36, dari Chongqing di barat daya China, dilapor menghidap penyakit distrofi otot sejak berusia lima tahun, mengakibatkan keupayaan fizikalnya semakin merosot.
Li terpaksa berhenti sekolah ketika Darjah Lima dan kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan untuk terus hidup.
Namun keterbatasan fizikal tidak mematahkan semangatnya apabila dia terus menimba ilmu secara kendiri, khususnya dalam bidang fizik dan sains komputer melalui sumber dalam talian.
Pada usia 25 tahun, Li mula mempelajari bahasa pengaturcaraan, seterusnya membangunkan sistem teknologi bagi mengurus operasi ladang secara jarak jauh.
Menggunakan satu jari di tangan kiri untuk menggerakkan tetikus komputer dan satu jari kaki kanan melakukan klik, dia mampu mengawal sistem ladang pintar termasuk penyiraman automatik serta pemantauan keadaan tanaman dari katilnya.
Li turut melatih ibunya untuk melaksanakan kerja fizikal di ladang berdasarkan arahan yang disampaikan melalui sistem teknologi tersebut.
Usaha dan ketekunan Li bukan sahaja membolehkannya berdikari, malah mendorong penubuhan sebuah syarikat permulaan berasaskan teknologi pertanian pintar. - Agensi