Fezakat 2025 tingkatkan kesedaran, kefahaman zakat kepada masyarakat

Iklan
Azrin (lima, kanan) bergambar bersama pembayar zakat perniagaan pada Majlis Perasmian Fezakat 2025 di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Festival Zakat Terengganu (Fezakat) 2025 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bertujuan mendekatkan urusan zakat kepada masyarakat dalam suasana lebih mesra, terbuka dan mudah diakses.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, festival yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall bermula Jumaat hingga 31 Disember itu bukan sahaja membolehkan orang ramai menunaikan zakat dengan lebih selesa, malah turut menyediakan khidmat nasihat, taksiran zakat serta pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

Iklan
Iklan

“Festival itu bertujuan memastikan pembayar zakat di Terengganu mempunyai satu lagi kaedah untuk pembayaran secara bersemuka selain daripada secara dalam talian. Jadi, sudah tentu festival zakat itu akan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membuat taksiran zakat.

“Pada masa sama, mereka mendapat kesempatan untuk memperoleh banyak informasi tentang zakat termasuk zakat perniagaan, zakat pendapatan, zakat galian, zakat tanaman dan sebagainya yang sudah tentu menambahkan lagi pengetahuan kepada masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian Fezakat 2025 di sini pada Sabtu.

Iklan

Azrin beramah mesra bersama pembayar zakat pada Majlis Perasmian Fezakat 2025 di sebuah pusat beli-belah pada Sabtu. Foto Bernama

Selain itu, Ahmad Azrin berkata, festival itu juga menjadi platform pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kewajipan zakat melalui pengisian program bersifat pendidikan termasuk pertandingan mewarna bertemakan zakat.

Iklan

“Program outreach ini dilaksanakan bagi memastikan masyarakat di Terengganu khususnya kanak-kanak memahami kepentingan berzakat sejak kecil, sekali gus memperkukuh hubungan Maidam dengan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam di Terengganu agar mengambil peluang menyempurnakan pembayaran zakat sebelum 31 Disember ini bagi memastikan ibadah itu dilaksanakan sempurna sebagai tanggungjawab kepada ALLAH SWT.

“Pada masa sama, pembayar zakat juga layak menikmati rebat potongan cukai 100 peratus menerusi pembayaran zakat bermula 26 Disember hingga 31 Disember 2025,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Azrin berkata, pihaknya turut meluahkan rasa syukur apabila terdapat bekas penerima bantuan zakat yang kini beralih status menjadi pembayar zakat pada tahun ini.

“Berdasarkan rekod tidak rasmi, jumlah asnaf fakir dan miskin di Terengganu kini dianggarkan 29,500 orang dan daripada jumlah itu, ia mencatatkan penurunan sebanyak tiga peratus pada tahun ini.

“Ini bermakna ada dalam kalangan mereka yang berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga tidak lagi dikategorikan sebagai asnaf fakir dan miskin. Sudah tentu ini menjadi satu kejayaan kepada Maidam  dan kami akan terus berusaha melihat lebih banyak lagi golongan asnaf berjaya berubah daripada penerima bantuan zakat kepada pembayar zakat,” katanya. - Bernama