Projek RTB Bagan Datuk bermula suku ketiga tahun hadapan

Iklan
Ahmad Zahid (duduk, tiga dari kiri) mendengar taklimat perkembangan Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA Inc, Silver Streams dan FELCRA.

BAGAN DATUK - Fasa pertama Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, projek bernilai RM87.6 juta itu dirancang secara menyeluruh sebagai langkah jangka panjang, menangani masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan di daerah itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan taklimat teknikal, antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian banjir di Bagan Datuk ialah taburan hujan yang tinggi, kewujudan lebih 1,900 lintasan air (culvert), keadaan sistem saliran sedia ada yang tidak seragam serta topografi kawasan yang menyebabkan air bertakung di beberapa lokasi.

Fasa pertama projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun hadapan.

Iklan

"Bagi menangani isu ini secara berperingkat dan berkesan, RTB Bagan Datuk Fasa 1 telah dirancang merangkumi kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di Tebuk Semani sepanjang 0.65 kilometer dan

"Juga naik taraf sistem saliran Parit 8 Barat sepanjang 1.25 kilometer serta pembinaan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh bagi meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik yang dirancang demi menjamin kesejahteraan rakyat setempat.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan keperluan langkah-langkah jangka pendek dilaksanakan dengan segera sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar itu.

"Antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan, khususnya dalam usaha menambah baik lintasan air dan sistem perparitan sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir dalam tempoh terdekat,” katanya.

Selain RTB, Ahmad Zahid turut meninjau perkembangan Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, MARA Inc, Silver Streams dan FELCRA.

Menurut beliau, pusat data berkenaan diklasifikasikan sebagai Tier IV iaitu antara pusat data terbesar dan berkapasiti tinggi di negara ini yang dijangka memberi limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Fasa pertama pembangunan pusat data berkapasiti 10 megawatt (MW) dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2027, manakala fasa kedua berkapasiti 25MW akan disiapkan pada tahun berikutnya,” katanya.

Beliau berharap, kedua-dua projek strategik itu dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Bagan Datuk.