ROMPIN - Dua pelancong warga Itali terkandas di Taman Negeri Endau Rompin di sini ekoran jalan masuk dinaiki air sedalam kira-kira dua meter akibat hujan lebat sejak awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Leonardo, 43, dan isterinya Giulia, 42 dijadualkan keluar dari lokasi itu namun ejen pelancong gagal masuk untuk menjemput mereka kerana laluan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan.
Menurutnya, mangsa selamat dikeluarkan kira-kira jam 1.20 tengah hari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin sebelum diserahkan kepada ejen sebuah syarikat pelancongan untuk urusan lanjut.
Menurutnya, selain pasangan suami isteri itu, terdapat 15 pelancong lain turut berada di lokasi pelancongan itu namun mereka memilih untuk terus berada di situ sementara waktu.
"Berdasarkan maklumat diterima, pengadu yang merupakan ejen sebuah syarikat pelancongan datang ke lokasi tersebut kira-kira jam 9.30 pagi sebelum mendapati jalan masuk sepanjang antara 600 hingga 800 meter dinaiki air.
"Pengadu hadir sendiri ke Balai Polis Kuala Rompin untuk memaklumkan kejadian dan mendapatkan bantuan," katanya.
Sharif Shai berkata, kira-kira jam 1 tengah hari, dua anggota dari Balai Rompin bersama empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rompin ke lokasi menggunakan sebuah bot dan lori.
"Operasi berjalan lancar dan mangsa dapat dipindahkan dengan selamat," katanya.