BANGKOK - Seekor kucing liar yang sekian lama dianggap pupus di Thailand telah ditemui semula selepas lebih tiga dekad sejak penampakan terakhirnya, menurut pihak berkuasa pemuliharaan dan sebuah NGO pada Jumaat.
Kucing berkepala rata atau 'flat-headed' cat tergolong antara kucing liar paling jarang dan terancam di dunia.
Taburan spesies ini terhad kepada Asia Tenggara dan ia berisiko pupus akibat habitat semula jadi yang semakin menyusut.
Spesies yang bersaiz hampir sama dengan kucing domestik ini, dengan mata bulat dan rapat, kali terakhir dilaporkan ditemui di Thailand pada 1995.
Menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand serta organisasi pemuliharaan kucing liar, Panthera, kajian ekologi yang bermula tahun lalu menggunakan kamera perangkap di Taman Hidupan Liar Princess Sirindhorn, selatan Thailand, telah merekodkan 29 penampakan.
Pengurus Program Pemuliharaan Panthera, Rattapan Pattanarangsan berkata, jumlah bilangan sebenar masih belum dapat dipastikan kerana spesies ini tidak mempunyai tanda unik, menjadikan pengiraan sukar.
Bagaimanapun katanya, penemuan ini menunjukkan tumpuan populasi yang agak tinggi dan menambah rakaman tersebut turut memaparkan seekor kucing betina bersama anaknya.
"Ia merupakan satu tanda yang jarang berlaku tetapi memberi harapan bagi spesies yang biasanya hanya melahirkan seekor anak pada satu masa," katanya.
Rattapan menjelaskan, kucing berkepala rata bersifat nokturnal dan pemalu serta biasanya mendiami ekosistem paya bakau dan tanah gambut yang tebal iaitu persekitaran yang amat sukar diakses oleh penyelidik.
Sementara itu, veterinar dan penyelidik, Kaset Sutasha dari Universiti Kasetsart berkata, penemuan semula ini mengujakan, tetapi pada masa yang sama membimbangkan.
"Fragmentasi habitat menjadikan spesies ini semakin terasing," jelas beliau.
Menurut Kaset, hutan paya bakau di Thailand telah banyak terfragmentasi akibat penukaran guna tanah dan pengembangan aktiviti pertanian.
Katanya, spesies ini juga berdepan ancaman daripada penyakit yang dibawa haiwan domestik dan kesukaran membiak dalam kawasan habitat yang terpisah.
"Walaupun penemuan semula ini menawarkan harapan, ia hanyalah titik permulaan kepada usaha pemuliharaan pada masa hadapan.
“Apa yang berlaku selepas ini lebih penting, bagaimana membolehkan mereka hidup bersama kita secara lestari, tanpa terancam,” kata Kaset.Sementara itu,
Di peringkat global, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menganggarkan terdapat kira-kira 2,500 ekor kucing dewasa di habitat semula jadi dan menilai spesies ini sebagai terancam.
Di Thailand, ia telah lama disenaraikan sebagai 'mungkin pupus'. - AFP