'Kuasa kejahatan tidak pernah menang'

Iklan
Abdul Hadi mendakwa krisis politik di Perlis berpunca daripada unsur penyelewengan dan rasuah.

KITA dikejutkan dengan pendedahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai krisis politik di Perlis berpunca daripada unsur penyelewengan dan rasuah.

Menurut beliau, keadaan itu berlaku kerana terdapat desakan pihak tertentu supaya projek besar diluluskan tanpa mematuhi peraturan.

Iklan
Iklan

Tekanan meluluskan projek tanpa mengikut peraturan menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, tidak dapat menuruti perbuatan salah tersebut.

Ekoran itu, Mohd Shukri meletakkan jawatan dan Abdul Hadi menyifatkan pemimpin Pas Perlis dizalimi kerana enggan tunduk kepada tekanan.

Iklan

Abdul Hadi tidak mendedahkan pihak terlibat dengan salah laku, penyelewengan atau rasuah itu. Tuduhan dibuat amat berat.

Namun belum ada mana- mana pihak tampil membuat sekarang kenyataan bagi menafikan dakwaan dibangkitkan itu.

Iklan

Kita juga hendak tahu apa pula kenyataan atau penjelasan pihak berusaha kuat menggulingkan Mohd Shukri.

Mungkin ada sebab musabab lain yang menyebabkan mereka menolak kepimpinan beliau.

Bagaimanapun, jika dakwaan itu benar-benar berlaku maka ia adalah satu episod malang kepada kita semua terutama rakyat apabila berlaku kecurangan dalam kalangan pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya.

Krisis politik di Perlis menjadi peringatan bahawa integriti bukan sekadar slogan, tetapi garis penentu antara kepimpinan yang dihormati dan kepimpinan yang dicurigai.

Keengganan Mohd Shukri tunduk kepada desakan meluluskan projek tanpa peraturan memperlihatkan keberanian moral yang jarang ditemui.

Jika benar berlaku rasuah dan penyelewengan, maka ia menepati ungkapan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga — kecurangan oleh segelintir pemimpin boleh menghancurkan kepercayaan rakyat dan menjejaskan masa depan negeri.

Negeri yang kecil seperti Perlis tidak mampu menanggung skandal besar; kesannya dirasai seluruh rakyat, seperti bau busuk yang sukar disembunyikan.

Namun kita tabik dengan tindakan Pas yang ambil tindakan yang amat tegas dan berani dengan menamatkan keahlian tiga pemimpin negeri tersebut dan mahu pilihan raya diadakan semula.

Pas tidak ada sebarang kerugian untuk berbuat demikian selagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus bersama mereka dalam Perikatan Nasional.

Kita yakin Pas akan terus mentadbir Perlis melainkan Bersatu tarik sokongan.

Jika benarlah ada niat jahat di sebalik pergolakan politik Perlis, ia mungkin tidak akan berjaya kerana Pas tidak akan lepaskan jawatan Menteri Besar kepada Bersatu.

Kita juga yakin bakal Menteri Besar daripada Pas yang akan dilantik juga tidak akan membiarkan sebarang kecurangan dilakukan.

Jadi yang kita harap kejahatan tidak akan pernah menang dan perjuangan melawan rasuah perlu terus dilaksanakan.

Jangan hanya kerana mahu memuaskan nafsu pemimpin korup, habis semua hak yang sepatutnya dinikmati rakyat musnah.

Yang pasti, perjuangan melawan rasuah tidak boleh berhenti, kerana keadilan dan hak rakyat mesti dipertahankan.

Kejahatan mungkin merancang, tetapi akhirnya kebenaran akan tetap berdiri — sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Integriti mesti menang, demi Perlis dan demi Malaysia.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian