SYDNEY – Lebih 20 tan sampah ditinggalkan bertaburan di Pantai Coogee, Sydney, selepas penganjuran pesta tahunan backpacker sempena Hari Krismas yang terkenal dengan kehadiran ribuan pengunjung.
Ribuan orang membanjiri pantai itu pada Khamis sempena sambutan yang dikenali sebagai “Orphans Christmas” atau “Backpacker Christmas”, namun kemeriahan acara berakhir dengan pemandangan memalukan apabila pantai dipenuhi sisa buangan termasuk tin minuman, pembungkus makanan, tikar, beg penyejuk dan pelbagai barangan lain.
Acara tahunan tersebut lazimnya diadakan di Pantai Bronte, namun dipindahkan ke Coogee tahun ini selepas Majlis Perbandaran Waverley menasihatkan orang ramai agar menjauhi kawasan itu berikutan kerja pembinaan serta insiden serangan pengganas di Bondi baru-baru ini.
Datuk Bandar Randwick, Dylan Parker berkata, walaupun ramai pengunjung bertindak secara bertanggungjawab, masih terdapat segelintir pihak yang mencemarkan kawasan awam.
“Walaupun ramai berkelakuan baik, amat mengecewakan apabila ada yang memilih untuk membuang sampah secara berleluasa dan membuang air kecil di tempat awam,” katanya.
Kerja-kerja pembersihan oleh kakitangan majlis perbandaran bermula sekitar jam 8 malam Khamis dan diteruskan sepanjang malam sebelum selesai pada pagi Jumaat.
Menurut Parker, lebih 20 tan sampah berjaya dikutip dan dihantar ke tapak pelupusan menggunakan empat lori.
Beliau merakamkan penghargaan kepada puluhan kakitangan majlis yang bertugas dalam keadaan sukar sehingga lewat malam Krismas dan pagi Boxing Day.-Agensi