KLATEN - Seorang pendaki yang mendaki Gunung Merapi, Jawa Tengah, dengan hanya memakai selipar maut manakala dua lagi terselamat, lapor Detik.com pada Khamis.
Salah seorang pendaki yang berjaya turun pada 21 Disember lalu melalui laluan Sapu Angin di Desa Tegalmulyo, Farhan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai dua rakan pendakinya iaitu Panji Rizky dan Aldo yang dilaporkan masih hilang.
Pegawai Pusat Operasi dan Penyelamat (Pusdalops) BPBD Klaten, Indiarto berkata, persiapan mereka amat tidak munasabah.
“Ada yang hanya berselipar, membawa botol air dan beg kecil yang sangat tidak mencukupi untuk mendaki sehingga ke puncak gunung,” katanya.
Ketiga-tiga pendaki berkenaan memulakan ekspedisi melalui laluan Kalitalang yang bukan laluan rasmi dan berjaya sampai berhampiran Pasar Bubrah.
Semasa menuruni laluan alternatif, Rizky keletihan dan terpaksa bermalam, manakala Farhan dan Aldo turun untuk mendapatkan bantuan.
Farhan juga dilaporkan terjatuh dari ketinggian 15 hingga 20 meter dan terpisah daripada rakannya.
Operasi mencari Rizky dan pengurusan mayat mangsa dijalankan oleh pasukan penyelamat tempatan.
Kejadian ini menekankan bahaya mendaki tanpa persiapan lengkap, terutamanya di gunung berapi aktif seperti Merapi. - Agensi