SHAH ALAM – Anak sulung daripada tiga beradik meluahkan keterujaan apabila bakal menerima adik baharu selepas ibunya yang kini berusia 51 tahun disahkan hamil.
Perkongsian Nur Amira Bilsabri, 30, dari Terengganu mengenai berita gembira itu tular apabila video memaparkan ibunya, Ayati Hussin, menjalani pemeriksaan kandungan di sebuah klinik dimuat naik di TikTok dan meraih hampir sejuta tontonan.
Menurut Nur Amira, ibunya mula menyedari perubahan pada diri apabila mengalami simptom yang berbeza daripada kebiasaan.
“Ibu berasa badan tidak sedap, mudah letih, kurang selera makan dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah sebelum membuat keputusan melakukan ujian kehamilan.
“Apabila ujian itu menunjukkan keputusan positif, ibu sangat terkejut kerana tidak menyangka masih boleh hamil pada usia sekarang, apatah lagi sebelum ini pernah beberapa kali mengandung tetapi tidak ‘lekat’,” katanya kepada Sinar Harian.
Nur Amira berkata, ibunya mengambil masa beberapa hari sebelum berterus terang mengenai perkara itu kepada dia dan dua adiknya kerana masih terkejut dengan kehamilan berkenaan.
“Ibu menyangka haidnya tidak teratur kerana hampir menopaus dan bimbang anak-anak sukar menerima berita ini disebabkan faktor usia.
“Abah pula menerima khabar itu dengan terbuka dan menganggapnya sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Sebagai anak, saya sangat gembira walaupun jarak usia kami agak jauh dan jika ALLAH izinkan, saya sanggup menjaga adik nanti,” katanya berseloroh.
Mengulas perkongsian di TikTok, Nur Amira berkata, niatnya sekadar berkongsi detik bermakna ibu dan bapa tirinya, Suaat Mohamed, 61, yang bakal menimang cahaya mata.
Namun katanya, dia tidak menyangka video tersebut tular hingga menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
“Ada yang mendoakan dan memberi kata-kata positif, namun tidak kurang juga yang meninggalkan komen kurang menyenangkan, tetapi saya tidak ambil hati dan berharap semua pihak mendoakan yang baik-baik buat ibu dan abah,” katanya.
Menurut Nur Amira, ibunya dijadual menjalani pemeriksaan susulan di klinik kesihatan dalam tempoh dua minggu bagi memantau keadaan kesihatan serta perkembangan kandungan.