PRESTASI kontinjen negara di Sukan SEA Thailand 2025 memperlihatkan satu gambaran yang perlu diteliti dengan lebih jujur.
Kutipan pingat keseluruhan memberi isyarat positif, namun di sebalik angka yang kelihatan meyakinkan itu, terselit realiti bahawa Malaysia masih bergelut dalam acara Olimpik berbanding beberapa negara jiran.
Inilah hakikat yang tidak boleh diketepikan menjelang Sukan SEA di laman sendiri pada 2027 nanti.
Temasya itu bukan lagi medan untuk berbangga dengan jumlah pingat semata-mata, sebaliknya harus dimanfaatkan sebagai persiapan paling praktikal dan strategik menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Statistik dari Thailand menjadi peringatan jelas apabila sumbangan emas dalam disiplin Olimpik masih belum memadai, malah Malaysia berada di belakang sekurang-kurangnya lima negara Asia Tenggara dalam kategori tersebut.
Situasi ini membuktikan kejayaan serantau belum mencerminkan kesiapsiagaan di peringkat lebih tinggi, khususnya apabila berdepan tekanan, intensiti dan kedalaman persaingan di pentas Asia dan dunia.
Jika pendekatan lama diteruskan, Sukan SEA 2027 hanya akan mengulang kitaran sama iaitu cemerlang di rantau sendiri tetapi sukar bersaing di Asia dan dunia.
Justeru, perancangan ke arah 2027 perlu lebih berfokus, berani membuat pilihan dan berpaksikan matlamat Olimpik. Kejayaan perlu diukur melalui peningkatan prestasi sebenar, bukannya kedudukan dalam jadual pingat semata-mata.
Keutamaan mesti diberikan kepada acara Olimpik yang berpotensi menyumbang kejayaan di LA28, termasuk penyelarasan latihan, sains sukan, sokongan psikologi serta pendedahan pertandingan berkualiti.
Atlet yang dikenal pasti sebagai prospek Olimpik wajar dibina melalui pelan jangka sederhana, bukan diperah untuk kemuncak prestasi di Sukan SEA sahaja.
Jika negara benar-benar mahu menamatkan penantian panjang emas Olimpik, Sukan SEA 2027 mesti dijadikan batu loncatan strategik.
Keputusan yang berani dan pelaksanaan yang konsisten bermula sekarang akan menentukan sama ada Malaysia benar-benar bersedia untuk mencabar di LA28 nanti.