Kereta terbabas rempuh rumah: Gerak hati selamatkan Alias

Iklan
Insiden itu menyebabkan struktur ruang tamu rumah musnah sepenuhnya selain beberapa barangan elektrik dan sebuah motosikal turut rosak.

HULU TERENGGANU – Gerak hati untuk tidak berehat di ruang tamu seperti kebiasaan menyelamatkan nyawa seorang lelaki daripada dirempuh sebuah kereta yang terbabas lalu memasuki kediamannya dalam kejadian di Kampung Chepoh, Kuala Berang di sini pada malam Selasa.

Alias Ali, 51, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sementara menunggu azan Isyak untuk ke masjid.

Iklan
Iklan

"Biasanya saya akan berehat sekejap di ruang tamu sebelum ke masjid. Tapi malam tadi, saya hanya berehat dalam bilik dan terkejut bila dengar bunyi dentuman kuat.

"Waktu tu rumah saya bergegar kuat dan saya cepat-cepat keluar untuk lihat apa yang berlaku," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Iklan

Alias menunjukkan keadaan ruang tamu rumahnya yang mengalami kerosakan teruk selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian pada malam Selasa.

Menurut Alias, sebaik keluar dari bilik, dia terkejut melihat sebuah kereta berada di ruang tamu rumah dan dinding batu pula runtuh.

Iklan

"ALLAH masih sayangkan saya kerana gerak hati tidak mahu berehat di ruang tamu malam itu. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan jadi, sama ada cedera parah atau mungkin hilang nyawa," katanya.

Menurut Alias, insiden itu menyebabkan struktur ruang tamu rumah keluarganya musnah sepenuhnya selain beberapa barangan elektrik dan sebuah motosikal turut rosak.

"Kesan rempuhan kereta begitu kuat sehingga dinding rumah roboh dan kereta pula tersadai di dalam rumah. Syukurlah kerana ALLAH SWT masih panjangkan umur saya," katanya.

Kesan rempuhan kereta begitu kuat sehingga dinding rumah roboh.

Sementara itu, ibunya, Siti Rahimah Nawang, 72, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah seorang lagi anaknya di kampung sama dan bergegas pulang selepas dimaklumkan kediamannya itu dirempuh sebuah kereta.

Katanya, rumah tersebut didiami dua orang anaknya manakala dia tinggal bersama seorang lagi anak di kampung sama.

Siti Rahimah

"Kawasan ini sudah kerap berlaku kemalangan kerana keadaan jalan yang berselekoh. Mujur tak ada sesiapa yang terkorban dalam kejadian ini.

"Saya bersyukur sebab semua selamat termasuk pemandu kereta walaupun dia mengalami kecederaan. Tengok pada kerosakan saya anggarkan kerugian lebih RM50,000 sebab bukan sahaja rumah, banyak juga barang dalam rumah ini yang rosak," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki cedera pada muka dan kepala selepas kereta dipandunya terbabas sendiri sebelum merempuh sebuah rumah di Kilometer 17, Jalan Kuala Berang–Tajin–Telemong di sini.

Insiden itu melibatkan sebuah Proton Preve yang dipandu lelaki berusia 21 tahun dari arah Telemong menghala ke Tanjung Putat sekitar jam 8.15 malam.

Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh rumah berkenaan.