Yayasan IOIPG ceriakan sambutan Krismas kanak-kanak Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami

Iklan
Pasukan IOI bergambar bersama kanak-kanak dan penjaga Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami semasa acara Christmas Wish Tree Yayasan IOIPG.

KAJANG – Yayasan IOIPG, cabang kebajikan Kumpulan IOI Properties Group (IOIPG), menyantuni Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami (RKK) di sini menerusi IOIPG Foundation Christmas Wish Tree Event sempena sambutan Krismas.

Kunjungan kali kedua pasukan IOIPG ke RKK itu diserikan dengan penyampaian hadiah daripada yayasan berkenaan serta orang ramai, selain sumbangan bernilai kira-kira RM14,950.

Iklan
Iklan

Sumbangan tersebut memberi manfaat kepada 22 kanak-kanak terdiri daripada 10 lelaki dan 12 perempuan berusia antara empat hingga 17 tahun yang berlindung di RKK, selain tujuh orang penjaga mereka.

Lima kanak-kanak dari Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami melakukan persembahkan tarian dengan alunan lagu 'Jingle Bell Rock'.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOI Properties, Kim Teoh yang merasmikan acara berkenaan menegaskan bahawa pendidikan merupakan elemen penting dalam pembangunan diri dan masa depan individu.

Iklan

Beliau menggalakkan kanak-kanak terbabit agar memberi tumpuan kepada pelajaran dan berusaha mencapai yang terbaik dalam kehidupan, sambil menekankan bahawa komuniti sentiasa bersedia menyokong serta menyediakan peluang kepada mereka.

Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh kanak-kanak, diikuti nyanyian lagu Krismas yang diketuai St Michael Basic Ecclesial Communities (BECs), Church of Divine Mercy, sekali gus menghidupkan suasana perayaan di rumah jagaan itu.

Iklan

Selain itu, penyampaian angpau Krismas dan hadiah Wish Tree turut diadakan bagi menunaikan hasrat kanak-kanak yang telah disampaikan kepada pasukan IOIPG.

Kanak-kanak pusat jagaan berkenaan membuka bungkusan hadiah Krismas mereka, sambil tersenyum riang.

Hadiah merangkumi barangan pendidikan dan pakaian itu bukan sahaja menceriakan kanak-kanak, malah memberi galakan dalam pembelajaran serta kehidupan seharian mereka sempena musim perayaan.

Pasukan Palm Garden Golf Club, iaitu unit perniagaan di bawah Kumpulan IOI Properties, turut menyediakan jamuan makan tengah hari untuk kanak-kanak berkenaan.

Inisiatif tersebut selari dengan pegangan pengasas IOIPG, mendiang Tan Sri Dr Lee Shin Cheng yang menekankan nilai pendidikan dalam membentuk masa depan generasi muda.

Menerusi Yayasan IOIPG, kumpulan itu kekal komited meneruskan legasi berkenaan dengan memperkasa golongan belia serta memupuk budaya keprihatinan dan amalan memberi dalam kalangan komuniti.