Struktur gergasi misteri jadi rahsia baharu Segi Tiga Bermuda

Iklan
Pelbagai teori dan spekulasi muncul tentang struktur aneh tersebut. - Foto Agensi

LONDON - Saintis telah menemui struktur mineral gergasi di dasar laut Segi Tiga Bermuda.

Penemuan itu telah menghidupkan kembali teori konspirasi tentang perairan meliputi kawasan Bermuda, Florida dan Puerto Rico yang sarat kontroversi itu.

Iklan
Iklan

Ia terkenal kerana didakwa telah 'menelan' sejumlah kapal dan pesawat hingga menarik minat pentaasub teori konspirasi.

Golongan itu sekali lagi teruja dan muncul dengan pelbagai spekulasi di platform media sosial selepas penampakan objek misteri itu didedahkan kepada umum.

Iklan

Segelintir pengguna media sosial mendakwa ia sebagai Kota Atlantis yang lenyap sebelum ini dan ada yang membuat andaian ia mungkin tamadun yang sangat maju berusia jutaan tahun.

Terdapat juga yang cuba berseloroh apabila menyebut ia sebagai 'pintu ke neraka' dan wujud bandar-bandar syaitan di dasar laut.

Iklan

Tetapi, kajian saintis mendapati ia merupakan penemuan geologi penting yang dapat menjelaskan bagaimana kawasan itu terbentuk.

Berdasarkan kajian seismik, penyelidik menemui batu setebal kira-kira 20,000 meter di bawah kerak lautan pada dasar Bermuda.

Ketebalan luar biasa lapisan geologi itu tidak pernah direkodkan di mana-mana.

"Kami masih belum dapat merungkai misteri batu gergasi itu boleh berada di sana. Ia berkemungkinan disebabkan kedudukan Bermuda di bonjolan dasar laut (oceanic swell) iaitu kawasan dasar laut yang lebih tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

"Lazimnya, keadaan itu berpunca daripada aktiviti gunung berapi yang memendapkan bahan di dasar laut, namun ia tidak wujud di Segi Tiga Bermuda, sekali gus mencetuskan tanda tanya tentang asal usul pembentukan 'bonjolan' tersebut," kata ahli seismologi di Carnegie Science di Washington, William Frazer yang juga penulis utama kajian tersebut. - Agensi