Tragedi banjir berulang hantui Kota Tinggi

Iklan
Kota Tinggi pernah mencatat sejarah hitam apabila banjir besar melanda pada penghujung tahun 2006 hingga awal 2007. Gambar hiasan

BENCANA banjir bukanlah perkara baharu di Johor. Malah, sebahagian penduduk ada yang terpaksa menghadapinya berulang kali hampir saban tahun.

Setiap kali musim hujan tiba pada penghujung dan awal tahun, timbul rasa gelisah dalam kalangan penduduk yang bimbang bencana itu kembali berulang, sekali gus mengimbau kenangan pahit banjir besar yang pernah melanda Kota Tinggi.

Iklan
Iklan

Kota Tinggi yang terletak antara daerah Mersing, Johor Bahru dan Kluang, terkenal sebagai destinasi pelancongan bersejarah kerana menjadi pusat pemerintahan awal Kesultanan Melayu Johor.

Daerah ini kaya dengan tinggalan sejarah, termasuk Makam Diraja khususnya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak di Kampung Makam.

Iklan

Namun, di sebalik nilai sejarah dan keindahan warisan dimiliki, Kota Tinggi tidak terkecuali daripada dilanda banjir.

Malah, daerah ini pernah mencatat sejarah hitam apabila banjir besar melanda pada penghujung tahun 2006 hingga awal 2007.

Iklan

Ketika itu, hampir keseluruhan kawasan bandar termasuk pejabat kerajaan, kedai, sekolah, kompleks beli-belah dan kawasan perumahan ditenggelami air, manakala banyak jalan utama terputus hubungan.

Banjir besar tersebut berpunca daripada hujan lebat berterusan akibat Taufan Utor dan Monsun Timur Laut, yang menyebabkan paras Sungai Johor meningkat secara mendadak sehingga menenggelamkan hampir seluruh bandar Kota Tinggi.

Bencana berkenaan mengakibatkan lebih 100,000 penduduk di Johor terjejas dan terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Walaupun hampir 19 tahun berlalu, tragedi banjir besar itu masih segar dalam ingatan penduduk dan sering dijadikan kayu pengukur setiap kali bencana banjir berlaku.

Tragedi banjir 2006/2007 turut membuka mata banyak pihak terhadap kelemahan sistem saliran dan empangan sedia ada dalam menghadapi hujan ekstrem.

Sejak itu, Kota Tinggi dijadikan antara contoh penting dalam penambahbaikan sistem amaran awal banjir serta perancangan mitigasi bencana bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Kerajaan turut memperuntukkan dana yang besar bagi membantu penduduk terjejas serta melaksanakan perancangan jangka panjang menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Namun, sehingga kini Kota Tinggi masih tidak pernah terlepas daripada bencana banjir tahunan yang melumpuhkan aktiviti perniagaan di kawasan bandar dan memaksa penduduk berpindah ke PPS.

Persoalan yang sering bermain di fikiran penduduk, sampai bilakah Kota Tinggi akan terus berdepan banjir seolah-olah ia telah menjadi satu acara tahunan? Bilakah projek tebatan banjir yang benar-benar berkesan dapat disiapkan sepenuhnya?

Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, projek RTB Sungai Pemandi di Kota Tinggi yang dijangka siap pada April tahun hadapan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 penduduk di Taman Aman dan Taman Mawai.

Beliau berkata, setakat Julai tahun ini, kemajuan projek sepanjang 2.7 kilometer di Sungai Pemandi itu telah mencapai 58 peratus.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada 11 Rancangan Tebatan Banjir di Johor yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.6 bilion.

Kini, penduduk meletakkan sepenuh harapan kepada keberkesanan pelaksanaan projek tebatan banjir.

Mereka mengharapkan satu penyelesaian konkrit dan berpanjangan agar episod banjir tidak terus berulang serta menghantui kehidupan mereka setiap kali musim hujan tiba.

*Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor